17 Syarikat Bas Ada Lebih 200 Saman
Juga perkembangan kes mahkamah Syed Saddiq; 'cerita' Ketua PAS Sungai Buloh dikecam; begitu juga BigPay gara-gara RM10.44; dan NGO Israel-AS umpan orang awam untuk membunuh.
Sekitar Malaysia 🇲🇾
17 syarikat bas ekspres catat 200 saman aktif
Kementerian Pengangkutan (MOT) buat pertama kali mendedahkan senarai hitam syarikat pengangkutan paling cuai di jalan raya. Ini merupakan satu tindakan tegas yang menurut Menteri Anthony Loke, sebagai amaran keras kepada semua terlibat.
Berdasarkan senarai itu, sebanyak 11 syarikat pengendali kenderaan barangan memiliki lebih 1,000 saman tunggakan. ‘Juara’nya adalah syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal Selangor: KDEB Waste Management dengan 22,017 saman tertunggak. Manakala ‘juara’ bagi kategori bas ekspres adalah Cepat Ekspres dengan 540 saman tertunggak. Cepat Ekspres berpangkalan di Johor dan banyak menawarkan perjalanan ke bandar-bandar utama Malaysia. Di Google Review, rating syarikat ini hanya 1.6 bintang hasil daripada 39 ulasan. Patutlah.
MOT menetapkan semua syarikat terlibat untuk menyelesaikan saman teertunggak dalam tempoh 14 hari. Kegagalan mereka untuk menyelesaikan saman bakal menyebabkan kenderaan disenarai hitam serta-merta.
Lain-lain:
Syed Saddiq dibebaskan Mahkamah Rayuan. Ahli Parlimen Muar dan bekas Menteri Belia & Sukan itu akhirnya dilepaskan daripada empat pertuduhan berkaitan dana ARMADA. Ia diputuskan oleh Mahkamah Rayuan apabila Hakim Datuk Noorin Badaruddin dalam penghakimannya menyebut tiada bukti kukuh berkenaan elemen utama jenayah. Malah, mahkamah juga berpendapat sabitan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2023 adalah satu kesilapan undang-undang. Terdahulu, Syed Saddiq disabitkan dengan beberapa kesalahan termasuk bersubahat pecah amanah yang melibatkan dana RM1 juta milik ARMADA.
Kontroversi perkauman selepas pelantikan Jeneral Cina pertama Malaysia. Isu berlaku selepas Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin menulis cerita fiksyen kononnya bakal ada PM orang Cina pada masa depan. Cerita ini timbul susulan pelantikan Mejar Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral berbangsa Cina pertama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). ‘Hikayat’ karangan Zaharudin itu kemudiannya dipadam selepas mendapat kecaman ramai. Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menggesa supaya tindakan undang-undang diambil terhadap Zaharudin kerana memperlekehkan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan ATM.
Caruman KWSP wajib untuk pekerja asing. Ketetapan ini bakal bermula pada Oktober 2025 untuk memperkukuhkan perlindungan sosial dan memastikan amalan pekerjaan yang lebih adil. Kadar caruman 2% wajib dibuat oleh majikan dan pekerja sendiri. Ketika ini, caruman pekerja asing dalam KWSP hanya dibuat secara sukarela sahaja dan masih belum diwajibkan oleh kerajaan.
Bigpay dikecam gara-gara RM10.44. Seorang wanita tempatan, Michelle Law, menjadi mangsa kegagalan sistem pengesanan penipuan kewangan selepas Bigpay melabelnya sebagai ‘keldai akaun’ akibat ralat transaksi berjumlah RM10.44. Kejadian berlaku Jun lepas ketika Michelle menggunakan aplikasi BigPay untuk membayar transaksi tersebut di Thailand. Akibatnya, akaun simpanan Michelle ditutup, manakala permohonan kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman hartanah Michelle turut ditolak. BigPay menjelaskan isu itu “sudah diperbetulkan,” namun tiada permohonan maaf rasmi atau dokumen pelepasan diberikan kepada Michelle—menyebabkan rekod Michelle di CCRIS kekal buruk. Insiden ini menyebabkan BigPay teruk dikecam oleh netizen di media sosial.
Sekitar Dunia 🌎
Korea Selatan catat lonjakan kelahiran tertinggi sejak 1991
Selepas bertahun-tahun berdepan krisis kadar kelahiran terendah di dunia, Korea Selatan mencatatkan lonjakan kelahiran bulanan tertinggi dalam 34 tahun, menurut data terkini oleh Statistics Korea.
Sebanyak 20,717 bayi dilahirkan pada April 2024; peningkatan 8.7% berbanding April tahun lalu (19,059). Ini adalah kenaikan tertinggi sejak April 1991 (juga +8.7%) dan kali pertama sejak 2022 jumlah kelahiran bulanan melepasi angka 20,000.
Apa yang mendorong perubahan ini? Pertama, perkahwinan meningkat 4.9% pada April (18,921 perkahwinan); bulan ke-13 berturut-turut pertumbuhan positif. Kedua, kadar kesuburan (jumlah purata anak per wanita) yang meningkat sedikit kepada 0.79 (+0.06 dari tahun lalu). Ketiga dan yang paling penting, dasar kerajaan yang memberi insentif tunai kelahiran anak, subsidi penjagaan anak, geran perkahwinan untuk pasangan muda, serta sokongan perumahan untuk keluarga baru.
Bagaimanapun Korea Selatan masih belum melepasi zon bahaya. Ketika ini, jumlah kmatian masih melebihi kelahiran. Sebanyak 28,785 kematian direkodkan pada April lepas, menyebabkan penurunan populasi semula jadi sebanyak 8,067 orang. Tetapi setidak-tidaknya, negara itu berada di laluan yang betul untuk mengelak daripada menjadi negara menua.
Lain-lain:
NGO Israel-AS di Gaza punca 14 terbunuh. Sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dalam serangan udara dan tembakan Israel semalam, termasuk 14 yang sedang menunggu bantuan makanan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah badan tajaan Israel-Amerika Syarikat. GHF dikecam oleh PBB kerana menempatkan pusat agihan berhampiran kem tentera Israel; memudahkan tentera Israel untuk menyerang orang awam. Menurut laporan, penduduk hanya diberi tempoh 20 minit sahaja untuk mendapatkan makanan sebelum tembakan daripada kem tentera Israel bermula.
Iran gantung mati 3 rakyat menjadi ejen Israel. Tiga lelaki telah dihukum mati di Iran selepas didapati bersalah atas tuduhan bersekongkol dengan agensi perisikan Israel, Mossad. Menurut agensi kehakiman Mizan milik kerajaan Iran, tiga lelaki tersebut turut bertanggungjawab menyeludup peralatan yang digunakan dalam satu pembunuhan berprofil tinggi (dipercayai kes pembunuhan saintis nuklear Iran). Mereka turut didakwa terlibat dalam operasi sabotaj kemudahan nuklear dan senjata Iran serta operasi penyusupan dan pemantauan di luar negara.
India kembali ke angkasa lepas selepas 41 tahun. Selepas lebih empat dekad, Shubhanshu Shukla menjadi rakyat India pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), dan yang kedua ke angkasa selepas Rakesh Sharma (1984, misi Soyuz USSR). Beliau menyertai misi Axiom-4 (Ax-4), yang dilancarkan dari Kennedy Space Center, Florida pada 26 Jun, bersama kru dari Hungary, Poland dan diketuai veteran NASA, Peggy Whitson. India dilaporkan telah membayar 5 bilion rupee (~RM333 juta) untuk latihan dan tempat duduk dalam Ax-4.
Sepintas Lalu 💨
Demi memudahkan perbelanjaan pelancong China dan Asia sempena musim cuti musim panas di Malaysia, Payments Network Malaysia (PayNet) mengumumkan kerjasama dengan Alipay+ dan Weixin Pay (WeChat Pay) untuk memudahkan urusan mereka. (Wiser)
Pembekal Proton dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat pembekal Geely untuk hasilkan komponen kereta di Malaysia. (Amanz)
Anda kini tidak perlu lagi bersusah payah memahami dialek Kelantan kerana, sekumpulan pelajar Universiti Malaya telah mencipta ‘Kelantanlingo’, demi memudahkan orang Ramai faham dialek ‘Kelate’. (Vocket)