Akaun 2 KWSP Untuk Bayar Insurans
Juga Sultan Selangor kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan; kematian pertama COVID-19 pada 2025; dan rakyat Israel berketurunan Arab mendapat layanan berbeza.
Assalamualaikum wbt dan selamat pagi. Iran umum rancang kawal laluan Selat Hormuz, belum wajibkan sepenuhnya, tapi saranan itu jadi signal besar kepada dunia. Rancangan ini dijadual selama 100 hari, cukup masa untuk uji pasaran global dan tindak balas kuasa besar.
Selat itu kawal hampir 20 peratus bekalan minyak dunia, jadi sebarang gangguan boleh cipta kesan mendalam. Ini strategi tekanan yang bukan dalam bentuk senjata, tapi dalam bentuk kawalan ekonomi.
Baca lebih lanjut mengenai rancangan Iran mengenai Selat Hormuz di sini.
Sekitar Malaysia 🇲🇾
Akaun 2 KWSP untuk bayar insuran perubatan
Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan membenarkan pengeluaran Akaun 2 KWSP bagi membiayai premium bulanan insurans kesihatan. Tujuannya? Untuk membolehkan rakyat mendapat perlindungan perubatan swasta dan meringankan beban jumlah pesakit yang ditanggung oleh hospital kerajaan. Ketika ini di Malaysia, 32% kos kesihatan dibayar sendiri oleh pesakit, tanpa insurans.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, cadangan ini adalah pilihan, bukan paksaan. Skim ini juga berbeza daripada i-Lindung, yang fokus pada perlindungan hayat, penyakit kritikal dan keilatan. Konsep ini mirip sistem MediSave di Singapura, di mana sebahagian caruman CPF digunakan untuk perbelanjaan kesihatan.
Lain-lain:
Sultan Selangor kecewa dengan keputusan mahkamah. Ini selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai kepada syarikat atau institusi, sebaliknya hanya kepada individu. Fatwa itu mengisytiharkan “fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat”. Keputusan ini bermakna fatwa MAIS itu tidak terpakai kepada institusi seperti NGO liberal, Sisters In Islam (SIS). Sultan Selangor menegaskan SIS telah menyalahgunakan perkataan ‘Islam’ dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
Bayi tiga bulan maut bersama bapa. Kejadian berlaku apabila Muhammad Nur Daniel, lemas selepas dihempap lengan bapanya yang tidak sedarkan diri akibat serangan jantung. Kejadian berlaku di rumah mereka di Jalan Perigi Hang, Melaka. Laporan perubatan menyatakan bayi itu masih bernyawa dalam keadaan lemah, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka. Pemeriksaan Bomba Bukit Katil mengesahkan tiada ancaman bahan kimia di tempat kejadian. Bapa bayi, Nurul Effendy Ibrahim, 35, pula meninggal dunia akibat serangan jantung serta-merta.
Kematian pertama 2025 akibat COVID-19 direkodkan. Mangsa dilaporkan turut mempunyai penyakit jantung dan kencing manis, serta tidak menerima dos penggalak kedua vaksin COVID-19. Jumlah kes baharu melonjak dengan 3,379 kes baharu dilaporkan setakat ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendakwa ianya masih terkawal walaupun kes meningkat sebanyak 68%.
Pelajar universiti ditahan miliki bahan lucah kanak-kanak. Penemuan menerusi Ops Pedo itu mendapati suspek berusia 20 tahun menyimpan lebih 5,000 fail bahan lucah kanak-kanak. Ini termasuklah kandungan pornografi dewasa dalam peranti miliknya selain rakaman sendiri bersama dua mangsa kanak-kanak tempatan. Maklumat risikan datang menerusi Google, yang membawa kepada serbuan pada 29 April lalu di Pasir Gudang, Johor. Serbuan tersebut juga membabitkan unit Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC) bersama pasukan D11 Bukit Aman dan PDRM Johor.
Sekitar Dunia 🌎
Rakyat Israel berketurunan Palestin diabai
Tatkala konflik serantau antara Iran dan Israel semakin meruncing, satu realiti pahit mula terserlah—jutaan rakyat Israel berketurunan Palestin sendiri tidak dilindungi daripada ancaman serangan peluru berpandu Iran.
Manurut laporan B’Tselem, badan hak asasi manusia terkemuka di Israel, hampir 50% Israel berketurunan Arab Palestin tiada akses kepada tempat perlindungan awam. Di Tamra, 37,000 penduduk tiada sebarang akses ke tempat perlindungan. Empat sekeluarga terbunuh di bandar ini minggu lepas akibat serangan peluru berpandu Iran. Di selatan Israel, 85,000 warga Palestin Badwi tidak menerima akses siren amaran serangan, sistem pemintas peluru berpandu, dan bilik keselamatan. Malah, permintaan untuk tempat perlindungan mudah alih turut ditolak oleh pihak berkuasa.
Untuk rekod, kira-kira 20% populasi Israel terdiri daripada 2 juta orang Palestin.
Lain-lain:
Roket StarX meletup di pangkalan. Roket Starship-36 milik SpaceX mengalami letupan besar di fasiliti Starbase, Texas hanya beberapa saat sebelum menjalani ujian statik (static fire test)—ujian penting sebelum pelancaran penerbangan ke-10 kapal angkasa lepas terbaharu ini. Dalam ujian statik, enjin roket dihidupkan tanpa dilancarkan bagi menguji prestasi dan integriti struktur. Ia biasanya fasa akhir sebelum sesuatu misi angkasa diluluskan.
PM Thailand ditekan letak jawatan. Tekanan untuk meletak jawatan itu wujud selepas satu rakaman audio sulit perbualannya dengan Presiden Senat Kemboja, Hun Sen dibocorkan kepada umum. Dalam rakaman tersebut, Paetongtarn Shinawatra dilaporkan menyebut bahawa Lt Gen Boonsin Padklang, Komander Wilayah Tentera Ke-2, adalah "bukan orang kami"—menyiratkan wujudnya jurang kepercayaan antara kerajaan Thai dan tenteranya berkaitan isu kedaulatan negara.
Sepintas Lalu 💨
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kos pembaikan jalan raya di seluruh Malaysia bernilai hampir RM4 bilion. (Vocket)
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini berada di kedudukan 153 dunia untuk penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2026. (NST)
Artis legenda Malaysia, Zaleha Hamid disahkan meninggal dunia selepas seminggu berada di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu, akibat jangkitan kuman pada paru-paru. (Berita Harian)