AS Tak Masuk Campur Kecuali Satu Sebab
AS dilaporkan tidak akan masuk campur Perang Iran-Israel kecuali satu sebab; pakej haji RM30k tipu jemaah; dua pelan pembangunan ditentang penduduk di KL dan Selangor; dan 1Fit 'bungkus' di Malaysia.
Assalamualaikum wbt dan selamat pagi.
Sekitar Malaysia 🇲🇾
Pakej haji RM30,000 tipu jemaah
Apa yang sepatutnya menjadi perjalanan suci penuh makna, bertukar menjadi mimpi ngeri buat 47 jemaah haji dari Malaysia. Mereka dilaporkan menjadi mangsa penipuan pakej haji oleh sebuah agensi pelancongan tempatan yang mengenakan bayaran sehingga RM30,000 seorang, tetapi gagal mendapatkan visa haji sah untuk mereka.
Setibanya di Arab Saudi, mereka dihalang masuk ke Makkah kerana tiada visa haji sah. Tanpa pengangkutan rasmi dan tempat penginapan, kumpulan ini kemudiannya dipaksa berjalan kaki lebih 80km melalui lebuh raya, gurun dan kawasan terpencil. Ada jemaah yang menghidap penyakit kronik, dan terpaksa membayar RM9,000 tambahan untuk mendapatkan semula ubat mereka dari bagasi. Mereka juga dijanjikan penginapan selesa dan makanan berkhasiat, tetapi akhirnya dihimpit ke dalam bilik kecil dan diberi makanan tidak berkualiti.
Menurut laporan, agensi yang terlibat dikatakan mempunyai kaitan dengan seorang tokoh agama terkenal. Polis telah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan dari waris mangsa di Negeri Sembilan dan Johor. Kes disiasat di bawah Akta Pelancongan dan Akta Penipuan Komersial.
Lain-lain:
Penduduk bantah pembangunan Bukit Gasing. Gabungan kira-kira 50 orang penduduk, pendaki, dan aktivis mendesak pembangunan di cerun Bukit Gasing dihentikan serta-merta. Mereka yang berhimpun secara aman di hadapan Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menyerahkan memorandum tiga tuntutan. Menurut mereka, Bukit Gasing bukan sekadar kawasan rekreasi, malah merupakan benteng terakhir ntuk mencegah bencana alam seperti tanah runtuh.
RM26 juta dana NGO untuk Syria diseleweng. Lima individu yang memegang jawatan utama dalam sebuah syarikat NGO ditahan SPRM. Ini kerana mereka disyaki menyeleweng dana RM26 juta sumbangan orang ramai yang sepatutnya digunakan untuk misi kemanusiaan di Syria. Menerusi Op Serantau yang dilakukan, serbuan telah dilakukan di Selangor, Melaka, dan Pulau Pinang. Aktiviti penyelewengan itu berlaku sejak 2015 lalu tanpa dikesan. Kesalahan disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Penduduk Taman Danau Desa cabar pelan pembangunan KL2040. Ini berikutan rancangan DBKL untuk mengezonkan semula kawasan yang menempatkan taman permainan, ladang komuniti dan balai polis sebagai zon pembangunan kediaman bertingkat. Mereka dilaporkan bakal memfailkan semakan kehakiman setelah petisyen serta bantahan dibuat kepada DBKL tidak diberi perhatian. Penduduk setempat dikatakan menyedari tanah di situ telah dizonkan semula dua tahun lalu, apabila kawasan taman dipagar sejak 2019 sehingga aktiviti komuniti di situ terpaksa dihentikan.
Sekitar Dunia 🌎
AS tak masuk campur Perang Iran-Israel kecuali satu keadaan
AS memberitahu beberapa sekutunya di Timur Tengah bahawa mereka tidak akan menyertai Perang Iran-Israel kecuali jika Iran menyerang rakyat atau aset Amerika.
Minggu lepas, Israel melancarkan serangan ke atas Iran dipercayai utuk melumpuhkan program nuklear dan peluru berpandu Tehran. Walaupun dikatakan telah membantu pertahanan udara Israel, AS menegaskan semua tindakan ofensif dilakukan secara unilateral oleh Tel Aviv. Tujuannya jelas: supaya Iran tidak membalas dendam ke atas pangkalan tentera AS di rantau tersebut. Tindakan itu nyata berkesan kerana sehingga kini, tiada serangan balas ke atas aset atau rakyat AS oleh Iran.
Walaupun pentadbiran Donald Trump (gambar atas) berkali-kali menolak ajakan Israel untuk menyertai perang itu, AS dilaporkan telah memulakan langkah bersedia. Kapal pengangkut pesawat USS Nimitz kini sedang menuju ke Timur Tengah. 28 pesawat pengisian bahan api strategik juga dikerah dari AS ke rantau tersebut pada hari Ahad lalu.
Lain-lain:
Ukraine sahkan AS mahu lindungi aset tenaga Rusia. Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan Timbalan Perdana Menteri Pertama Yulia Svyrydenko mengesahkan AS telah meminta Ukraine supaya tidak menyerang infrastruktur tenaga Rusia. Zelensky mengesahkan perkara itu sejurus selepas serangan besar-besaran Rusia ke atas loji tenaga Ukraine di Kremenchuk. Menurut laporan strategik, tekanan ini berpunca daripada kebimbangan Barat terhadap kestabilan pasaran minyak global. Sebarang serangan ke atas kemudahan minyak Rusia boleh melonjakkan harga dan menggugat bekalan dunia.
Sepintas Lalu 💨
Sebuah video TikTok viral menunjukkan pertengkaran penumpang bas dengan pemandu mereka ketika perjalanan dari Kuala Lumpur ke Mersing. Penumpang dikatakan menegur pemandu bas supaya memperlahankan bas, tetapi tidak diendahkan. (TikTok)
Aplikasi langganan kecergasan 1Fit menutup operasinya di Malaysia pada 13 Jun lepas akibat masalah kewangan. CEO Murat Alikhanov mengesahkan perkara itu. Tetapi tindakan 1Fit yang meneruskan promosi dan tidak memberitahu staf—walaupun tahu akan menutup operasi—membuatkan ramai tak puas hati. (BFM News)
Kurang dua bulan meringkuk di penjara di Filipina, personaliti YouTube Vitaly Zdorovetskiy kehilangan banyak berat badannya. Vitaly ditahan polis Filipina pada 2 April lepas dan berdepan risiko hukuman maksimum 24 tahun penjara. (Reddit)