China Matikan AI
Juga cerita tentang pemandu nahas bas pelajar UPSI; KWSP beli saham 99 Speed Mart; Israel tahan bot Greta Thurnberg; dan hubungan Trump–Musk berakhir.
Assalamualaikum wbt dan selamat pagi. Ketika ini, ketegangan sedang memuncak di Los Angeles apabila ribuan penduduk turun ke jalanraya membantah operasi besar-besaran oleh agensi imigresen Amerika Syarikat, ICE, terhadap komuniti pendatang. Protes yang bermula secara aman bertukar tegang apabila pegawai ICE menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk meleraikan perhimpunan.
Dalam masa kurang 24 jam, Presiden Trump mengumumkan penghantaran 2,000 anggota Pengawal Negara ke Los Angeles, menjadikan situasi lebih genting.
Tak mustahil peristiwa rusuhan LA pada tahun 1992 boleh berulang.
Sekitar Malaysia 🇲🇾
Kemalangan bas ragut 15 nyawa pelajar UPSI
Sebuah bas terbabit dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak. Kesan kemalangan itu menyaksikan 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut. Manakala tujuh yang lain mengalami kecederaan parah. Menurut laporan, bas tersebut membawa 48 pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu ke kampus di Tanjong Malim. Bas dikatakan dipandu laju sebelum terbalik dan bertembung dengan sebuah MPV Perodua Alza di hadapannya.
Menurut salah seorang mangsa nahas yang terselamat, pemandu bas turut kedengaran memandu sambil marah-marah. “Tak tahu dia marah siapa,” kata Farhana Abdul Aziz, 23. Difahamkan pemandu tersebut merupakan pemandu gantian yang disediakan syarikat Kenari Utara Sdn Bhd itu berpengalaman memandu di laluan perjalanan. Bas juga dikatakan telah diselenggara dan berada dalam keadaan baik. Pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya, 54, cedera dan kini berada di Hospital Gerik bersama mangsa lain untuk menerima rawatan.
Pelajar-pelajar UPSI ini dipercayai baru selesai bercuti sempena perayaan Aidiladha dan telah menyewa sebuah bas untuk pulang semula ke kampus.
Lain-lain:
Malaysia kini berdepan ancaman “wet-bulb”. Selain cuaca panas, kelembapan tinggi juga memberi risiko ‘wet-bulb’ (WBT). WBT ialah ukuran kombinasi suhu dan kelembapan yang menunjukkan sejauh mana tubuh manusia boleh menyejukkan diri melalui peluh. Apabila WBT mencecah 31°C atau lebih, ianya dianggap berada pada tahap berbahaya ekstrem—walaupun suhu biasa hanya sekitar 31°–35°C. Kenapa berbahaya? Kerana dalam kelembapan tinggi, peluh gagal disejat. Ini menganggu keupayaan tubuh untuk menyejukkan diri sehingga suhu dalaman meningkat ke tahap hipertermia maut dalam masa beberapa jam. Untuk mengelakkan risiko ini, anda perlu mengelak aktiviti luar antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang, serta minum air secukupnya.
Perluasan SST bakal bermula Julai hadapan. Selepas ditangguh susulan ketidaktentuan ekonomi akibat Perang Tarif AS-China, perluasan SST akhirnya akan dilaksanakan sebagaimana yang dijanjikan dalam Belanjawan 2025. Apa yang berubah? Cukai jualan bakal diperkenalkan sebanyak 5%-10% untuk barangan tertentu dan lebih banyak perkhidmatan dikenakan cukai. Makanan mewah seperti ketam raja, buah-buahan import, trufel dan kain sutera antara dikenakan cukai sebanyak 5%. Manakala, barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan antik pula dikenakan sebanyak 10%. Untuk sektor perkhidmatan, kadar cukai dikenakan dengan kadar 6% hingga 8% bergantung kepada beberapa bahagian.
Perbelanjaan kesihatan rakyat meningkat 3x dalam tempoh 20 tahun. Menurut laporan, perbelanjaan ini meningkat daripada RM600 per kapita pada tahun 2000, kepada RM1,600 pada tahun 2020. Hampir separuh (47%) jumlah perbelanjaan kesihatan negara datang daripada sektor swasta; bersamaan RM40 bilion pada tahun 2024. Lebih membimbangkan, 36% perbelanjaan ini masih ditanggung dari poket sendiri (bukan insurans); menunjukkan ketidakseimbangan akses dan beban kewangan terhadap rakyat.
EPF beli 5% pegangan dalam 99 Speed Mart. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini rasmi memegang 5.02% saham dalam 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99SMART). Ini merupakan pegangan pertama KWSP dalam 99SMART, yang menjadi komponen FBM KLCI sejak Disember 2023. Saham 99SMART ditutup naik 1 sen kepada RM2.10 semalam, memberikan syarikat nilai pasaran sekitar RM17.64 bilion. Sebagai rekod, saham ini mula disenaraikan pada RM1.65 sesaham pada September 2023, dan pernah mencecah paras tertinggi RM2.58 pada Disember 2023.
Sekitar Dunia 🌎
Israel tahan bot Greta Thunberg
Aktivis iklim Greta Thunberg dan 11 aktivis lain ditahan oleh tentera laut Israel ketika bot mereka cuba memasuki perairan Gaza. Bot tersebut kini ditahan di pelabuhan Ashdod, Israel. Bot yang diberi nama The Madleen itu merupakan sebahagian daripada misi Freedom Flotilla, yang membawa bantuan kecemasan seperti susu bayi, ubat dan makanan ke Gaza. Tetapi ia dirampas di perairan antarabangsa, kira-kira 200km dari Gaza; satu tindakan yang melanggar undang-undang perairan antarabangsa.
Israel beri alasan keselamatan, mengatakan kapal itu membawa "kurang dari satu lori" muatan dan mengecamnya sebagai “aktivisme Instagram.” Dalam usaha untuk mengawal naratif netizen, Israel turut berkongsi gambar aktivis memakai jaket keselamatan dan diberi air serta sandwich selepas ditahan. Ini selepas Thurnberg sendiri memuat naik video ini sejurus sebelum ditahan Israel. Dalam video tersebut, beliau menggesa kerajaan Sweden untuk menekan Israel supaya membebaskan mereka segera.
Semua aktivis kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dijangka akan diterbang keluar dari Israel. Selain Thurnberg, antara aktivis lain yang berada dalam The Madleen adalah Rima Hassan, seorang Ahli Parlimen Perancis berketurunan Palestin.
Lain-lain:
China ‘matikan’ AI sempena peperiksaan masuk universiti. Bermula 7 hingga 10 Jun ini, lebih 13.3 juta pelajar di seluruh China sedang menduduki peperiksaan gaokao—ujian masuk universiti paling kompetitif di dunia. Dan buat kali pertama, syarikat teknologi utama seperti Alibaba, ByteDance, Tencent dan Moonshot telah menutup sementara fungsi AI mereka bagi mengelakkan pelajar menipu menggunakan teknologi.
Moscow: Perang Ukraine takkan tamat selagi NATO tak keluar. Dalam satu wawancara rasmi, Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov, menyatakan bahawa perang tidak akan tamat selagi NATO tidak berundur dari Estonia, Latvia, dan Lithuania. Rusia menganggap kehadiran NATO di wilayah ini sebagai “akar sebenar” konflik Euro-Atlantik, bukan sekadar isu keahlian Ukraine dalam pakatan tersebut.
Trump dan Musk ‘berpisah’. Presiden AS Donald Trump mengesahkan bahawa hubungan peribadinya dengan Elon Musk—jutawan teknologi dan penderma besar kempen beliau—telah putus. Puncanya? Musk secara terbuka mengkritik rang undang-undang cukai dan perbelanjaan utama Trump, yang dikenali sebagai “Big Beautiful Bill”. Beliau mendakwa undang-undang itu akan menambah hutang negara, dan melemahkan sumbangan beliau dalam Doge (Department of Government Efficiency).
Sepintas Lalu 💨
Secara rasminya, filem Ejen Ali The Movie 2 menjadi filem animasi tempatan nombor 1 di Malaysia selepas mencatat kutipan sebanyak RM50.7 juta dalam tempoh 18 hari. (Buletin TV3)
Selepas 50 tahun, kemarakan api ‘gerbang neraka’ yang popular di Turkmenistan dilaporkan semakin reda. (Harian Metro)