Harga Minyak Dunia Bakal Naik
Tindakan Iran menutup Selat Hormuz akan meningkatkan harga minyak global; mahasiswa bakar karikatur Anwar; tarif elektrik; Rafizi sindir Fadhlina dan PM Thailand enggan letak jawatan.
Sekitar Malaysia 🇲🇾
Mahasiswa bakar karikatur Anwar
Lebih 100 pelajar universiti di Kota Kinabalu menamatkan himpunan “Gempur Rasuah Sabah 2.0” dengan membakar karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Aksi dramatik ini disertai kain rentang bertulis “Madani Pelindung Rasuah Sabah”, sebagai simbol kekecewaan terhadap kegagalan janji reformasi institusi.
Kumpulan itu, dikenali sebagai Suara Mahasiswa UMS, dipimpin jurucakap Fadhil Kasim. Apa punca protes mereka?
Pertama, langkah kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terlibat dalam skandal rasuah lesen perlombongan Sabah. Dan kedua, pelantikan Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri. Ini walaupun beliau pernah berdepan 46 pertuduhan berkaitan konsesi balak sebelum kes ditarik balik pada 2020.
Sementara itu, Kamil Munim, Ketua Pemuda PKR dan Setiausaha Politik kepada Anwar, (seperti yang dijangka) mengecam tindakan itu. Menurutnya tindakan itu bukan hujah, tapi aksi kosong untuk curi perhatian.
Lain-lain:
Syarikat perladangan wajib buka ruang kepada belia Malaysia. Syarat ini diumumkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Ia bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan memanfaatkan bakat tempatan yang belajar dalam kursus TVET Perladangan. Johari turut memuji Sime Darby dan FGV Holdings kerana lebih mesra kepada golongan belia tempatan yang mencari pekerjaan.
Tarif elektrik turun 19%. Mulai 1 Julai, majoriti pengguna domestik bakal menikmati faedah tersebut, hasil reformasi tenaga oleh kerajaan. Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, tarif asas bagi tempoh Regulatory Period Keempat (RP4) 2025–2027 akan diturunkan sebanyak 19% daripada jangkaan awal. Sekitar 85% pemilik akaun TNB dijangka tidak mengalami kenaikan tarif. Mereka berpotensi menikmati penurunan bil elektrik sekiranya penggunaan bulanan mereka kekal bawah 1,000 kilowatt jam (kWj). Kerajaan juga bakal memperkenalkan Skim Masa Penggunaan (TOU); satu insentif buat pengguna yang mengalihkan penggunaan elektrik kepada waktu bukan puncak.
Rafizi sindir Menteri Pendidikan. Bercakap dalam episod rancangan audio siarnya, Rafizi Ramli menyindir prestasi Kementerian Pendidikan di bawah Fadhlina Sidek. “Cuba tanya Kementerian Pendidikan. Dah dua tahun setengah dah. Ada tak perubahan polisi? Tak ada,” ulasnya. Sindiran ini timbul ekoran kritikan kem pro-Anwar di PKR yang menuduh Rafizi ‘angkat kaki di tengah jalan’. Menurut Rafizi, kementeriannya telah banyak melakukan reformasi polisi sejak 2022 dan hanya dua ‘kerja’ yang masih belum sempat dimuktamadkan: perancangan RMK13 dan Akta Anti-Ali Baba (Anti Rent-Seeking).
OCBC suntik RM11 bilion ke Johor. Syarikat-syarikat di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) telah mendapat komitmen pembiayaan dari OCBC berjumlah lebih RM11 bilion sejak awal 2024. Nilai ini akan bertambah sebanyak RM3 bilion lagi menjelang akhir 2025. Sektor tumpuan pembiayaan adalah hartanah, minyak & gas, pembuatan dan pusat data.
Sekitar Dunia 🌎
Iran ancam tutup Selat Hormuz
Parlimen Iran secara rasmi menyokong langkah untuk menutup Selat Hormuz — laluan maritim paling kritikal di dunia — sebagai reaksi terhadap serangan udara besar-besaran oleh Amerika Syarikat ke atas fasiliti nuklear Iran. Keputusan akhir kini di tangan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi dan Ayatollah Ali Khamenei.
Langkah ini diumumkan beberapa jam selepas operasi “Midnight Hammer”, iaitu siri serangan oleh AS ke atas tapak pengayaan uranium di tiga lokasi di Iran iaitu Fordo, Natanz dan Isfahan.
Selat Hormuz yang menghubungkan Teluk Parsi ke Laut Arab, menjadi laluan keluar masuk utama eksport petroleum dari Arab Saudi, UAE, Iraq, Kuwait dan Qatar. 30% eksport minyak dunia melalui selat ini.
Apa kesan kepada anda jika Selat Hormuz ditutup?
Harga minyak mentah boleh melonjak melebihi US$150 setong jika laluan terganggu. Ini akan memberi kesan signifikan kepada poket anda memandangkan kerajaan tekad akan meneruskan rasionalisasi subsidi RON95 pada separuh kedua 2025 nanti.
Kos logistik akan naik kerana ada gangguan rantaian bekalan global. Ini bermakna sebarang produk yang melalui Selat Hormuz untuk sampai ke Malaysia akan naik harga.
Pasaran saham global, terutama di Asia dan Eropah, dijangka akan bergolak.
Lain-lain:
PM Paetongtarn enggan undur. Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, bertegas tidak akan meletakkan jawatan walaupun berdepan tekanan dari dalam kerajaan, kehilangan rakan sekutu utama, dan konflik sempadan dengan Kemboja yang semakin panas. Krisis bermula dengan kebocoran rakaman perbualan Paetongtarn dan PM Senat Kemboja Hun Sen, di mana beliau dikatakan mengkritik komander tenteranya sendiri. Ini menyebabkan Parti konservatif Bhumjaithai (69 kerusi) menarik diri daripada gabungan kerajaan. Majoriti kerajaan pimpinan Paetongtarn kini merosot kepada sekitar 255 kerusi daripada 495 di parlimen.
Estonia mula bina Garisan Pertahanan Baltic di sempadan Rusia. Garisan parit anti-kereta kebal sepanjang 4km, sedalam 3 meter itu dibuat susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Ia menjadi penghalang fizikal ketenteraan di sempadan EU–NATO dengan Rusia, dan melambatkan sebarang pencerobohan darat untuk memberi masa negara-negara Baltik (Estonia, Latvia, Lithuania) untuk bertindak balas.
Sepintas Lalu 💨
Jaguh powerlifting para negara Bonnie Bunyau Gustin meraih pingat emas dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) pada Piala Dunia 2025 di Beijing. Beliau melakukan angkatan terbaik seberat 215kg (rekod dunia adalah 232kg yang dicatat oleh Bonnie sendiri semasa Sukan Paralimpik Paris 2024).
Filem ‘Elio’ muncul filem terburuk dari segi rekod global kutipan tiket dalam sejarah filem Pixar. Elio hanya mengutip RM148.8 juta berbanding kos produksinya sebanyak RM637.9 juta.
John Cena menunjukkan kekuatan tumbukannya: