Intern Gaji RM20,800 Sebulan
Sebuah firma perdagangan US menawarkan gaji RM20,800 kepada intern; Berapa pulangan pelaburan hartanah di Malaysia?; dan kenapa Elon Musk sokong Donald Trump.
The Outlook merupakan surat berita bisnes, ekonomi dan kewangan mingguan dari The Patriots Asia. Jika anda suka dan mendapat manfaat daripada kandungan ini, sokong kami dengan menekan butang ‘Subscribe now’ di bawah.
Perniagaan 💼
Jika anda mempunyai ahli keluarga yang sedang mencari tempat internship, kongsikan pautan ini kepada mereka. Jane Street Capital—sebuah firma perdagangan—sedang membuka permohonan 11 posisi intership di pejabat New York mereka. Yang menariknya, semua interns akan dibayar setaraf dengan pekerja sepenuh masa—bermula dari USD170,000 hingga ke USD250,000.
Posisi Quantitative Trader Intern, misalnya, menjanjikan gaji asas USD250,000 (RM1.08 juta) setahun. Memandangkan intern hanya berkerja 4 bulan, ini bermakna intern ini akan menerima kira-kira USD83,000 (RM357,476) selepas 4 bulan. Kepada majikan yang mengharapkan intern kerja tanpa elaun/gaji, malulah sikit.
Bacaan tambahan: Ketahui sebab kenapa kadar gaji di AS dikira secara tahunan, bukan bulanan.
Konsolidasi Capital A dan AirAsia X akan menurunkan harga tiket. Rancangan menggabungkan Capital A Berhad dengan AirAsia X Berhad dijangka mampu menjimatkan kos operasi sehingga 15% (dan tambang lebih murah), menurut CEO Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.
Jualan iPhone 16 diharam di Indonesia. Walaupun iPhone 16 dah dilancarkan secara global sejak 10 September 2024 dan mula dijual di Malaysia pada 20 September, situasi di Indonesia pula agak berbeza. Semuanya gara-gara kegagalan Apple untuk memenuhi komitmen pelaburannya.
Indonesia mensyaratkan sekurang-kurangnya 40% komponen iPhone diperbuat daripada komponen tempatan. Apple sebelum ini berjanji untuk melabur IDR1.71 trilion (lebih kurang RM470.6 juta), tetapi setakat ini pelaburan yang direalisasikan baru mencecah IDR1.48 trilion (sekitar RM407.3 juta).
Tonton: Mengapa tindakan Indonesia ini bijak?
Enable 3rd party cookies or use another browser
Ekonomi 📊
Pada petang hari ini, PMX dijangka akan membentangkan Belanjawan 2025. Jangkaan kita adalah supaya kerajaan meneruskan polisi yang merangsang pertumbuhan ekonomi (pendapatan) dan mengurangkan defisit fiskal (perbelanjaan).
Perbelanjaan Belanjawan 2025 dijangka akan melepasi angka RM400 bilion—kali pertama dalam sejarah. Perbelanjaan operasi dijangka akan meningkat (susulan kenaikan gaji penjawat awam), manakala perbelanjaan pembangunan dijangka akan menurun.
Walaupun kerajaan berjaya menjimatkan RM4 bilion setahun hasil penyasaran semula subsidi diesel, kerajaan masih perlu tampung kos tambahan RM10 bilion untuk membayar kenaikan gaji penjawat awam dan pekerja swasta (menerusi Dasar Gaji Progresif).
Ini menyebabkan idea penyasaran semula subsidi RON95 timbul, di mana kerajaan berpotensi menjimatkan RM8 bilion lagi. Tetapi Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pula berkata pengukuhan ringgit dan prestasi ekonomi negara yang baik mungkin memberi ruang kepada kerajaan untuk melambatkan penyasaran semula subsidi RON95.
Dalam usaha untuk menambah pendapatan kerajaan, penganalisis ekonomi menyarankan supaya sistem cukai diperluaskan. Sehingga kini, Malaysia masih mencatat hasil cukai yang rendah di Asia Tenggara—hanya 12.6% daripada KDNK. GST dan cukai warisan dicadangkan untuk diperkenalkan semua, tetapi PMX dilaporkan tidak akan melaksanakannya dalam Belanjawan 2025. Sebaliknya, cukai minuman bergula akan diperkenalkan.
Tiada ahli politik mahu menjadi orang yang memotong bajet subsidi dan memperkenalkan cukai baharu. Tetapi tiada ahli politik yang mahu menjadi orang yang terlepas peluang menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Itulah tugas Perdana Menteri.
Pelaburan 💸
Berapakah pulangan pelaburan hartanah di Malaysia?
Salah satu ‘petua’ dalam pelaburan hartanah adalah, “It’s all about location, location, location.” Sekali pandang, memang lokasi hartanah yang betul akan memberikan pulangan pelaburan yang lumayan.
Jika anda membeli rumah link dua tingkat di Hartamas pada tahun 90-an, rumah anda telah naik harga 5x. Jika anda membeli rumah teres dua tingkat di Desa ParkCity pada tahun 2002, rumah anda juga telah naik harga 5x. Di Bangsar, rumah teres dua tingkat yang anda beli pada tahun 1994, telah naik harga 6.6x.
Tapi jika anda mengambil kira faktor tempoh ‘hold’, sebenarnya kenaikan harga rumah 5x itu (dalam masa 30 tahun) hanya bersamaan pulangan terkompaun (compounded interest) 5.51% sahaja setahun. Cukup-cukup makan untuk mengatasi kadar inflasi dan kadar pulangan ASB.
Geopolitik 🌍
Jika anda aktif di X (dulu Twitter), anda mungkin perasan kecenderungan Elon Musk terhadap Donald Trump (Parti Republican), berbanding Kamala Harris (Parti Democrat).
Jika anda tertanya-tanya mengapa pengasas Tesla dan pemilik X ini menyokong Trump, ringkasan ini menyediakan jawapannya.
Elon Musk pada mulanya bukanlah penyokong Parti Republican. Sebelum Trump, dia penyokong Parti Democrat. Tetapi hubungannya dengan Parti Democrat menjadi buruk selepas pentadbiran Biden mengarahkan siasatan terhadap Tesla dan X dibuat.
Lima bulan sebelum dia mengumumkan sokongannya terhadap Trump secara terbuka pada 13 Julai 2024, Musk telah terlibat dalam strategi kempen calon Republican itu.
Menurut laporan media, Musk mencadangkan Trump menggunakan kaedah word-of-mouth; sama seperti Tesla yang jarang mengiklankan produk mereka, tetapi masih ada pengikut yang setia. Musk mencadangkan kaedah mudah: minta dua orang sokong Donald Trump, dan suruh mereka cari dua orang lagi. Dan seterusnya…
Tetapi walaupun Musk menyokong Trump, dia risau Trump mungkin guna duit sumbangan untuk bayar kos guaman kes-kes mahkamahnya. Jadi, Musk cadangkan penyumbang kempen Trump untuk memberi sumbangan kepada kumpulan luar. maka tertubuhlah America PAC yang berjaya mengumpulkan USD8.5 juta dalam masa lebih sebulan.
Dengan menyokong Trump, Musk sebenarnya mahu mendapat laluan yang lebih mudah, terutamanya dalam usaha Tesla untuk melancarkan kereta autonomi sepenuhnya.
Bagi Trump, sokongan Musk adalah satu berita baik. Malah, Trump pernah menyatakan kekagumannya terhadap kepintaran Musk dalam kempen-kempen terbarunya. Tapi, dalam dunia politik, tiada jaminan. Trump sendiri pernah menyerang Musk di aplikasi Truth Social pada tahun 2022.
Dalam erti kata lain, hubungan Musk dengan Trump ini tidak lebih daripada sekadar satu “trade-off”. Aku tolong kau sekarang, kau tolong aku nanti.
Teknologi 💻
Instagram sebagai resume. Susulan kenaikan trend Gen Z menggunakan profil Instagram sebagai resume, Meta melancarkan ciri baharu: Profile Card.
Menurut Meta, Profile Card berfungsi seperti kad bisnes digital untuk akaun Instagram. Tujuannya adalah untuk memudahkan anda kongsi akaun Instagram dengan orang lain tanpa perlu hantar handle secara manual. Adakah ini bermulanya kepupusan kad bisnes fizikal?
Perusahaan Sosial 🌱
Segmen ini dibawakan khas oleh LEAP dan Empowerise.
Jika bisnes anda mempunyai masalah pengesahan identiti sebagai perusahaan sosial, anda wajib memohon penarafan status di SeMY2030.
Penarafan Perusahaan Sosial diwujudkan untuk mengesahkan status bisnes anda sebagai satu perusahaan sosial, bagi membantu anda mendapatkan akses kepada pelbagai sokongan dan peluang yang lebih besar untuk mengembangkan perniagaan.
Terdapat 3 taraf penarafan yang anda boleh dapatkan:
Tunas Perusahaan Sosial (Aspiring SE)
Perusahaan Sosial Asas (SE.B)
Perusahaan Sosial Diakreditasi (SE.Ac)
Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mula memohon, anda boleh klik butang di bawah:
Kewangan Peribadi 💰
“Kalau diberi pilihan, nak tanam pokok apa?”
Ada yang sebut pokok jagung. Sekejap dapat hasil. Ada kata cili. Harga di pasaran tinggi, khabarnya. Ada juga nak pohon durian. Tak mahu durian kampung. Paling minima, Musang King.
Terpulang.
Melabur berapa lama, ikut pilihan masing-masing yakni matlamat kewangan. Nak untung lama dan banyak, pilihlah cara pelaburan berstrategi sesuai.
Yang penting, jangan nak sangat ikut kawan. Kawan awak nak pokok mangga je. Selera awak, pohon ciku. Kan dah lain. Ikut selera sendiri.
Kami nak jemput anda untuk hadir ke Hari Terbuka The Patriots 2024!
Dengan nama ALLAH yang maha pengasih lagi maha penyayang, sempena dengan sambutan Ulangtahun ke-12 The Patriots, pada 19 dan 20 Oktober ini, terdapat hari terbuka di pejabat kami yang bertempat di Seri Rampai (waze The Patriots Asia untuk hadir ke lokasi).
Pada hari tersebut, kami menyediakan wacana-wacana dalam subjek SAINS, AGAMA, SEJARAH dan GEOPOLITIK sebagai makanan minda bersama kelak. Kehadiran anda amat kami alu-alukan. Juga pada hari yang sama, terdapat makan-makan dan jualan buku pada harga lelong!
Kalau anda berminat, dibawah ialah alamat kami:
No. 23 & 23-1, Pusat Perindustrian Sri Rampai Jalan Seri Rejang 3, Taman Sri Rampai 53300 Kuala Lumpur
Jika anda suka dengan kandungan kami pada minggu ini, sila share dengan kawan-kawan dan keluarga.