Jemaah Haji Dilarang Berjalan Kaki
Juga dana sukuk RM20 juta digunakan untuk berjudi; YDP Agong akan adakan siri Kembara Diraja; jemaah haji dilarang berjalan kaki; dan konflik Ukraine-Rusia dan AS-China kembali panas.
Assalamualaikum wbt dan selamat pagi. Terima kasih semua! PBAKL2025 akhirnya telah melabuhkan tirai hari ini. Terima kasih kepada anda semua yang tetap menyokong kami tak kira hujan panas sanggup anda redah untuk menghadirkan diri ke sini.
Berikut adalah TOP30 buku-buku terlaris The Patriots sepanjang 10 hari kani berkampung di sini:
Bagi anda yang tak sempat hadir, jangan risau, anda masih boleh membeli buku-buku kami secara online dengan klik butang di bawah:
Sekitar Malaysia 🇲🇾
Seleweng dana sukuk RM20 juta untuk berjudi
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kemungkinan sejumlah RM20 juta diseleweng dari dana sukuk untuk aktiviti perjudian. Dana sukuk tersebut sepatutnya digunakan untuk projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Individu utama yang sedang disiasat adalah seorang Tan Sri yang kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta dan masih belum dirakam keterangannya. Bagaimanapun SPRM telah menyoal siasat 45 saksi lain untuk membantu siasatan.
SPRM sebelum ini menemukan sebuah bilik ‘chiller’ untuk menyimpan arak mewah, lengkap dengan bar eksklusif di kondominium milik Tan Sri tersebut. Tan Sri itu juga dipercayai telah menggunakan dana sukuk tersebut untuk membeli beberapa ekor kuda bernilai ratusan ribu ringgit, enam kediaman mewah dan sebidang tanah lot bernilai lebih kurang RM12 juta. SPRM percaya masih ada aset yang disembunyikan di luar negara.
Lain-lain:
Zahid Hamidi tak risau Tengku Zafrul keluar UMNO. Ini selepas Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan akan keluar daripada UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau menyambut langkah diambil Tengku Zafrul dengan senang hati sambil menyindir, “Eloklah keluar kalau dah tak setia.”
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bakal adakan Kembara Diraja. Satu siri jelajah ke seluruh Wilayah Persekutuan bakal dilakukan oleh baginda; sama seperti yang selalu dilakukan baginda semasa menjadi Sultan Johor. menerusi Kembara Mahkota Johor. Kembara ini adalah platform baginda untuk mendekati rakyat secara langsung dan menyampaikan bantuan zakat kepada golongan miskin dan asnaf. Titah itu disampaikan sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran di Istana Negara sempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda.
Larangan berjalan kaki ketika tunaikan haji. Kerajaan Arab Saudi pada tahun ini telah mengeluarkan arahan rasmi supaya semua jemaah haji wajib menaiki kenderaan dari Makkah ke Arafah. Larangan berjalan kaki diumumkan atas faktor cuaca panas ekstrem yang boleh membawa risiko maut kerana strok haba. Menurut Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, kerajaan Arab Saudi akan menyediakan sistem pengangkutan rasmi untuk semua jemaah. Malah, jemaah turut tidak dibenarkan keluar dari khemah ketika waktu panas memuncak.
Sekitar Dunia 🌎
Bill Gates akan derma ‘99% kekayaan’ kepada Afrika
Bill Gates, yang kekayaannya dianggarkan sekitar USD200 bilion (RM945 bilion, berjanji akan menyumbang 99% kekayaannya menjelang tahun 2045. Jutawan berusia 69 tahun itu berharap duit itu dapat membantu semua negara Afrika ‘ke arah kemakmuran melalui pelaburan kesihatan dan pendidikan’.
Gates turut menggesa golongan muda di Afrika supaya memanfaatkan AI untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di benua itu. “Kita boleh tengok satu contoh: bagaimana Rwanda menggunakan AI untuk imbasan kehamilan berisiko tinggi,” katanya.
Sebelum ini, Gates mengumumkan akan menderma semua kekayaannya menjelang penutupan yayasannya pada 31 Disember 2045 nanti. “Saya tak nak diingati sebagai jutawan yang mati dalam kekayaan,” tulisnya dalam blog peribadi. Ketika ditanya media mengenai harta yang bakal diwarisi tiga anaknya, Gates menjawab, “Saya akan derma banyak tapi mereka tidak akan miskin bila saya pergi nanti.”
Lain-lain:
Ukraine lancar serangan dron musnahkan pesawat udara Rusia. Buat kali pertama sejak perang bermula, serangan dron Ukraine berjaya menembusi ke pangkalan tentera Rusia di Siberia dan Artik. Sasarannya? Pesawat pengebom strategik yang berkeupayaan nuklear milik Rusia. Ukraine mendakwa 41 pesawat Rusia musnah atau rosak. Kremlin pula berkata hanya “beberapa” pesawat terbakar. Video dan imej satelit pasca-serangan mengesahkan beberapa kerosakan, tapi jumlah sebenar masih belum disahkan pihak ketiga.
China tuduh Trump langgar perjanjian redakan perang tarif. China berjanji ‘akan bertindak tegas’ selepas menuduh AS melanggar perjanjian yang dimeterai di Geneva pada Mei lalu. Dalam perjanjian tersebut, kedua-dua negara bersetuju untuk mengurangkan tarif import sebanyak 115% secara kolektif. Apa tindakan AS yang membuatkan China marah? Pertama, pentadbiran Trump mengehadkan eksport cip AI dan perisian reka bentuk cip kepada China. Kedua, Trump membatalkan visa pelajar China dalam bidang sensitif.
Sepintas Lalu 💨
Filem Ejen Ali The Movie 2 hanya memerlukan tempoh 11 hari tayangan untuk mengaut RM34.2 juta. (Berita Harian)
Kedah, Perak, dan Kelantan berada dalam senarai berjaga-jaga kerana telah merekodkan suhu maksimum harian hingga 37 darjah celcius buat tiga hari berturut-turut. (Harian Metro)
Harimau Malaya kini diperkuatkan dengan pemain warisan baharu dari Argentina, Facundo Garces. (Kosmo)