Kembali Ke Era 60-an
Menurut Bank Dunia, kita sedang berada di era ekonomi lembap seperti era 60-an; permit pemilik bas bahas pelajar UPSI dibatal; lebih banyak negeri haramkan vape; dan satu lagi syarikat AI disaman.
Assalamualaikum wbt dan selamat pagi. Sebuah syarikat kecerdasan buatan daripada Perancis, Mistral AI telah mengumumkan niat mereka untuk bersaing dengan ChatGPT (AS) dan Deepseek (China).
Seperti dua pesaingnya, Mistral turut boleh membuat penaakulan dalam pelbagai bahasa, mampu menyelesaikan soalan kompleks, mampu membangunkan perisian, dan amat sesuai untuk penalaran dalam bahasa, khususnya di Eropah seperti Inggeris, Perancis, Sepanyol, Jerman, Itali, Arab, Rusia, dan Cina.
Untuk menelusuri dengan lebih mendalam tentang sejarah dan pengaplikasian Kecerdasan Buatan, boleh dapatkan buku AI UNTUK PEMULA!
Sekitar Malaysia 🇲🇾
Permit pemilik bas nahas pelajar UPSI dibatal
Siasatan susulan nahas kemalangan bas yang mengorbankan 15 nyawa pelajar UPSI membongkarkan pelbagai perkara tak dijangka.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mendedahkan pemilik bas kemalangan (di Kedah) telah memajak permit pengendalian mereka kepada pihak ketiga (di Kelantan) dengan bayaran hanya RM500 sebulan.
Selain itu, siasatan juga mendapati pemilik bas tidak mengaktifkan Sistem Pengesanan Global (GPS), sekali gus menjadikan pemantauan operasi mustahil untuk dilakukan. Dua kesalahan besar ini membawa pembatalan permit serta-merta. Menurut Anthony Loke lagi, “Tiada ruang untuk rayuan.”
Lain-lain:
Datuk Seri Najib kekal hadapi 3 pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta. Mahkamah Tinggi menolak representasi Najib untuk menggugurkan tiga pertuduhan tersebut yang membabitkan RM27 juta dana SRC International. Representasi itu telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara sejak Julai 2023. Ini menyaksikan kes tersebut bakal diteruskan ke perbicaraan penuh. Pertuduhan itu melibatkan dakwaan Najib telah menerima dana haram melalui tiga akaun bank AmPrivate miliknya pada 8 Julai 2014. Jika sabit kesalahan, Najib bakal dipenjara sehingga 5 tahun, denda maksimum RM5 juta, atau kedua-duanya sekali.
Kadar pengangguran Malaysia jatuh ke paras terendah dalam 10 tahun. Ianya merupakan berita cukup baik untuk pasaran kerja tempatan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran turun 3.0% pada April 2025. Ini merupakan paras paling rendah dalam tempoh satu dekad. Walaupun begitu, pengangguran dalam kalangan belia (15 hingga 24 tahun) kekal tinggi pada 10.3%. Kewujudan sektor ekonomi gig mungkin menjadikan angka ini menurun. Tetapi isu paling utamanya adalah ‘underemployment’; ramai yang bekerja tetapi bekerja secara separuh masa atau dalam pekerjaan di bawah skil sebenarnya.
Pahang negeri kelima haramkan vape. Ini selepas Johor, Kelantan, Terengganu dan Perak melakukan langkah sama. Pengumuman dibuat oleh Exco negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad setelah mesyuarat Jawatankuasa Agama Negeri dan mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Ketika ini, kerajaan negeri menyerahkan kepada PBT untuk menguatkuasa larangan tersebut di peringkat premis. Penjualan barangan tersebut juga bakal dikurangkan secara berperingkat, dengan matlamat tiada lagi premis menjual vape bermula tahun hadapan. Peniaga vape turut diingatkan supaya tidak menambah lagi stok baharu dalam perniagaan mereka.
Keluarga mangsa nahas bas pelajar UPSI terima bantuan tambahan RM10,000. Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan bantuan tunai tersebut kepada keluarga 15 mangsa yang terkorban dalam nahas kemalangan bas di Gerik itu. Sementara itu, pelajar yang mengalami kecederaan bakal menerima sebanyak RM5,000. Manakala pinjaman PTPTN bagi 13 mangsa pula bakal dihapus sepenuhnya. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk menyemak insurans bagi membantu keluarga mangsa dengan lebih menyeluruh.
Sekitar Dunia 🌎
Dekad paling lembap untuk ekonomi global
Dunia sedang berdepan apa yang Bank Dunia sifatkan sebagai “dekad paling lembap dalam pertumbuhan ekonomi” sejak era 60-an, Ini dipacu oleh perang tarif AS-China, ketidaktentuan dasar, dan tekanan geopolitik yang semakin meruncing.
Unjuran pertumbuhan global pada 2025 diramalkan akan mencatat 2.3% (turun 0.4% berbanding ramalan pada Januari 2025). Manakala hampir dua pertiga negara di dunia menerima semakan yang menurun dalam ramalan pertumbuhan mereka (termasuk Malaysia). China bagaimanapun kekal stabil, kata Bank Dunia, dengan dasar fiskal dan simpanan negara yang cukup untuk serap kejutan politik dan dagangan global.
Namun begitu, Bank Dunia tidak menjangka kemelesetan global penuh; peluangnya dianggarkan kurang daripada 10%.
Lain-lain:
Disney & Universal saman Midjourney. Dua gergasi Hollywood — Disney dan Universal — bertindak menyaman syarikat pembangun AI imej terkenal, Midjourney, atas dakwaan pelanggaran hak cipta secara besar-besaran. Midjourney didakwa menghasilkan “salinan tanpa kebenaran” berdasarkan watak terkenal seperti Darth Vader (Star Wars) dan Minions (Despicable Me). Disney & Universal berkata mereka telah meminta Midjourney untuk menghentikan penggunaan bahan terpelihara hak cipta, tetapi permintaan itu diabaikan. CEO Midjourney, David Holz, sebelum ini pernah dipetik berkata, “Kalau manusia boleh tengok dan tiru, kenapa AI tak boleh buat benda yang sama?”
UNICEF: Israel ‘lancar perang terhadap kanak-kanak’. Olga Cherevko, dari Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), berkata hanya pembukaan semula penuh lintasan sempadan Gaza serta akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan boleh mengelakkan bencana kebuluran yang sedang memburuk di wilayah itu. Menurut OCHA, hanya 6,000 tan tepung gandum berjaya masuk sejak Israel membenarkan bantuan disambung semula bulan lalu. Ini jauh dari mencukupi untuk 2.3 juta penduduk Gaza, yang kini hidup dalam kepungan darat, laut dan udara.
Sepintas Lalu 💨
Penyanyi antarabangsa, Maher Zain dilaporkan bakal kembali ke Malaysia untuk mengadakan Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025, selepas kali terakhir beliau di sini pada enam tahun lalu. (Harian Metro)
Baru-baru ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menyampaikan anugerah berprestij ‘Diamond Award’ kepada Lembaga Tabung Haji di Majlis Anugerah Labaytum 2025 sebagai tanda pengiktirafan kecemerlangan mereka dalam pengurusan jemaah Haji bagi musim Haji 1446H/2025M. (Vocket)
Pengguna Atome di Malaysia bakal diperkenalkan dengan Atome Card pada beberapa bulan akan datang untuk memudahkan lagi penggunaan kaedah Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) bagi memenuhi keperluan mereka. (Wiser)