Nahas Air India Ragut 241 Nyawa
Hanya seorang penumpang terselamat dalam kemalangan pertama yang melibatkan pesawat Boeing 787; lagi lesen syarikat kenderaan berat dibatalkan; dan Cherating mendapat nama baharu.
Assalamualaikum wbt dan selamat pagi. Pada tahun 1979, ada seorang lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahdi telah bertindak mengetuai serangan ratusan orang terhadap Masjid al-Haram dan Kaabah. Serangan itu diketuai oleh Juhayman al-Otaybi bersama abang iparnya yang mengaku Imam Mahdi, Muhammad bin Abdullah al-Qahtani.
Penaklukan Masjid al-Haram bermula pada November 20, 1979 ketika 50,000 jemaah di situ bersedia melaksanakan solat subuh pada pukul 5 pagi.Dianggarkan sekitar 500 lebih telah menyertai gerakan pemberontakan itu, termasuklah beberapa daripada wanita dan kanak-kanak.
Baca lanjut kisah ini di sini.
Sekitar Malaysia 🇲🇾
Lesen syarikat lori nahas FRU dibatalkan
Masih ingat lagi nahas kemalangan lori batu dengan trak FRU di Teluk Intan yang mengorbankan nyawa 9 anggota FRU pada hujung Mei lepas? Terbaharu, sebuah laporan mendedahkan JPJ telah membatalkan lesen pengendalian syarikat lori batu tersebut sejak 29 Mei lepas.
Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) oleh JPJ mendapati Tashveen Trading hanya mencatat 15% skor pematuhan. Ianya jauh daripada syarat minimum 70%. Syarikat itu turut gagal mematuhi semua tujuh komponen mandatori keselamatan. Hasil penemuan tersebut membawa kepada pengeluaran Surat Tunjuk Sebab (STS) atas kegagalan mereka mematuhi ICOP (Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010). Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) kemudiannya memutuskan untuk membatalkan lesen mereka secara rasmi.
Siasatan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mendedahkan lori terbabit membawa muatan tidak sah. Ini kerana mereka membawa batu kerikil berbanding arang batu seperti diluluskan dalam permit. Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) lori turut tidak aktif.
Lain-lain:
Nama Cherating kini diubah kepada Cerating. Majlis Bandaraya Kuantan mengumumkan pertukaran nama tersebut susulan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang. Tetapi langkah ini mencetuskan reaksi panas, terutamanya dalam kalangan penduduk tempatan dan netizen. Menurut penduduk dan komuniti setempat, mereka mendakwa tidak diberi notis awal dan menegaskan nama Cherating telah dikenali dunia. Tukarlah nama pun, ia masih tak mengubah fakta Cherating kini bukan pusat peranginan popular sebagaimana era 90-an dahulu.
Kes dadah Muhammed Yusoff Rawther digugurkan. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu daripada dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan. Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie, terutamanya sama ada Yusoff mempunyai kawalan, jagaan atau pengetahuan terhadap dadah dan dua pistol yang ditemui dalam keretanya. Ketika ini, Yusoff masih mempunyai kes saman sivil terhadap PMX berhubung dakwaan serangan seksual pada 2018. Kes tersebut kini sedang ditangguhkan sementara.
Anak ungka pertama berjaya dilahirkan. Sabah mencatat sejarah apabila seekor anak ungka jantan berjaya dilahirkan dalam kurungan buat kali pertamanya di dunia; satu perkembangan positif dalam usaha pemuliharaan spesies terancam itu. Ungka dari subspesies Hylobates funereus itu turut dikenali sebagai North Bornean Gibbon. Anak ungka itu diberi nama Nabalu yang bermaksud: Semangat Gunung.
Guru dikecam selepas hina kematian pelajar UPSI. Seorang guru di Perak, Khalid Yunus, mencetuskan kemarahan ramai selepas dia menulis kematian 15 pelajar UPSI dalam nahas kemalangan bas baru-baru ini adalah kematian hina kerana mereka meninggal bersama hutang PTPTN. Khalid kemudiannya memuatnaik status baharu memohon maaf selepas dikecam. Dia memberi alasan menghidap penyakit skizofrenia. Status kontroversi itu turut telah dipadam.
Sekitar Dunia 🌎
241 maut dalam nahas tragik Air India
Sebuah pesawat penumpang Air India yang dalam penerbangan ke London terhempas sejurus berlepas dari Ahmedabad, Gujarat, India—mengorbankan 241 daripada 242 penumpang dan anak kapal. Satu-satunya mangsa yang terselamat dikenali sebagai Vishwash Kumar Ramesh, seorang warganegara Britain.
Pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner itu turut melanggar sebuah kolej perubatan, membunuh sejumlah pelajar perubatan yang berada di asrama. Jumlah kematian dari kampus tersebut masih belum disahkan.
Menteri Pengangkutan India mengumumkan siasatan rasmi oleh Aircraft Accident Investigation Bureau (AAIB) telah dimulakan, mengikut piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Setiausaha Pengangkutan AS Sean Duffy menyatakan “tiada petunjuk setakat ini” bahawa terdapat isu keselamatan dengan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner; pesawat yang terlibat dalam nahas itu. Ini adalah kemalangan pertama yang melibatkan pesawat Boeing 787.
Lain-lain:
Senator AS digari ketika tanya soalan. Senator Demokrat Alex Padilla telah digari dan diheret keluar dari satu sidang media rasmi yang dikendalikan oleh Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Kristi Noem, di Los Angeles semalam. Padilla, anak kepada imigran Mexico, berkata beliau hadir ke sidang media secara sah kerana sudah berada di bangunan sama untuk mesyuarat rasmi, dan hanya ingin dapatkan maklumat yang masih belum dijawab berkaitan serbuan imigresen di California.
Perbicaraan Harvey Weinstein berakhir dengan pembatalan. Kes perbicaraan semula eksekutif Hollywood Harvey Weinstein berakhir secara dramatik selepas ketua juri enggan meneruskan perbincangan mengenai tuduhan terakhir — merogol bekas pelakon Jessica Mann. Ini menyebabkan hakim tiada pilihan lain selain mengisytiharkan pembatalan perbicaraan (mistrial). Hakim menetapkan tarikh 2 Julai untuk pendengaran kes—bermakna kes ini akan kembali ke titik mula semula. Sebelum ini, Weinstein telah disabitkan bersalah atas satu kes serangan seksual, dan dibebaskan dalam satu lagi kes serangan seksual.
Sepintas Lalu 💨
Pempengaruh Malaysia, Sofyank akui sangat teruja selepas beliau diberi peluang mencipta kolaborasi dengan pelakon legenda Hong Kong, Louis Koo dalam sebuah video pendek terbaharu. (Harian Metro)
Menurut statistik dikongsikan oleh The Spectator Index, lelaki Malaysia berada pada kedudukan ke-9 daripada 10 perokok tegar di dunia. (Vocket)
Penyanyi terkenal Dua Lipa, 29, mengumumkan pertunangannya dengan pelakon British berusia 35 tahun, Callum Turner.