PKR Retak
Projek ECRL berdepan masalah baharu; CAAM diswastakan; kenapa China tak kisah Iran tutup Selat Hormuz dan Iran mula serang aset AS di Timur Tengah
Sekitar Malaysia 🇲🇾
Pemuda PKR Selayang letak jawatan ramai-ramai
Sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Selayang berdepan dengan krisis dalaman serius apabila 13 daripada 14 ahli jawatankuasa (AJK) mereka meletakkan jawatan secara serentak. Langkah itu menyusul selepas mereka mendakwa wujudnya ketidaktelusan dalam pemilihan Ketua Pemuda Cabang Selayang, yang menyaksikan Tamilarasu Thamil Kalai menewaskan pencabarnya, Dinesh Selvarajoo.
Menurut Muhammad Amir Sahmat, Timbalan Ketua Pemuda (yang turut meletak jawatan), keputusan ini dibuat selepas perbincangan kolektif. Surat peletakan jawatan dan akuan berkanun (SD) telah mereka hantar kepada kepimpinan pusat parti sejak Mei lepas.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh menafikan dakwaan bahawa AMK Selayang terbubar. Menurutnya, AJK penuh termasuk lantikan adalah 26 orang—bukan 14 seperti yang didakwa Amir. “Mula-mula 17 orang letak jawatan, tapi tiga tarik balik, dan seorang lagi akan menyusul. Jadi tinggal 13. Masih belum cukup,” kata Fuziah kepada FMT. Menurut Fasal 32.4 Perlembagaan PKR, minimum dua pertiga AJK (18 orang) perlu berundur untuk membubarkan AMK Selayang secara sah.
Lain-lain:
Projek ECRL dihantui isu kecurian kabel. Tatkala projek mega tersebut sudah pun siap 83.38% sebelum pelancarannya pada tahun 2027, satu cabaran baharu timbul iaitu kecurian kabel. Kecurian kabel dan unit transformer dilaporkan telah berlaku sekitar Pasir Puteh, Chukai, Dungun, Kuantan Port City, dan Cherating. Impak kecurian tersebut boleh melengahkan ujian sistem dan tren yang sepatutnya bermula Jun 2026.
Shopee, Lazada, TikTok Shop wajib guna Bahasa Melayu. Penyedia platform jual beli atas talian perlu mengikuti syarat tersebut kerana ia merupakan satu langkah penting di bawah undang-undang baharu, CPETTR 2024. Ia menuntut semua tajuk dan deskripsi produk mesti ditulis dalam Bahasa Melayu, kecuali jenama sahaja. Tarikh kuat kuasa peraturan tersebut sepatutnya bermula 24 Jun, tetapi ditangguhkan sementara untuk kajian lanjut. Siapa yang ingkar akan didenda RM50,000 atau penjara 3 tahun.
KPN baharu nafi ahli PKR. Ini selepas Harian Sinar menerbitkan infografik tidak rasmi yang mengaitkan Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Menurut Ketua Polis Negara (KPN) baharu ini, beliau tidak pernah terlibat dalam arena politik sepanjang 38 tahun bergelar polis. Malah Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh sendiri menafikan bahawa beliau pernah menjadi ahli parti.
CAAM diasingkan daripada kerajaan mulai 1 Ogos. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan beroperasi sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan (BBDSB) bermula 1 Ogos ini. Ini bermakna, CAAM kini bebas daripada suntikan kewangan kerajaan, tidak lagi tertakluk kepada sistem saraan perkhidmatan awam dan mempunyai autonomi sendiri seperti FAA (AS) dan EASA (Eropah).
Sekitar Dunia 🌎
Iran mula serang aset AS di Qatar dan Iraq
Iran mengesahkan telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera AS di Qatar dan Iraq— sebagai tindak balas langsung terhadap serangan udara AS ke atas tiga fasiliti nuklear Iran hujung minggu lepas.
Iran turut dilaporkan telah memberi isyarat kepada Qatar supaya bersedia terhadap serangan mereka. Qatar bertindak dengan menutup ruang udaranya dan mengosongkan pangkalan udara tentera AS beberapa jam sebelum serangan misil tersebut. Tiada sebarang korban jiwa dilaporkan susulan serangan tersebut. Tetapi ia masih tidak menghalang Qatar untuk mengutuk serangan Iran.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari, berkata, “Qatar mengutuk keras serangan IRGC ke atas Pangkalan Udara Al Udeid. Ia satu pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.”
Lain-lain:
China beri sokongan kepada Iran. Walaupun Iran mengancam akan menutup Selat Hormuz — laluan hampir 50% import minyak China — Beijing tetap menyebelahi Tehran dalam konfliknya dengan Iran dan AS. Kenapa? Dua sebab: mahu perhatian Washington teralih dari Perang Tarif AS-China; dan mahu propagandakan naratif bahawa AS adalah punca ketidakstabilan global.
Krisis keamanan di Colombia semakin parah. Lebih 50 anggota tentera Colombia kini ditahan oleh penduduk awam di wilayah selatan negara itu yang sedang bergolak. Pihak tentera menyifatkannya sebagai penculikan yang didalangi puak pemberontak EMC (Estado Mayor Central).
Sepintas Lalu 💨
Beberapa studio di China bakal menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghidupkan semula filem-filem klasik termasuk seperti Drunken Master. (Wiser)
RHB Islamic lancar laman web khas fokus golongan asnaf serta B40. (Berita Harian)