Tembakan Sekolah Di Austria
Juga Jalan Raya Timur Barat dicadang dinaik taraf segera kerana berbahaya; EPF silap kira; Greta Thurnberg diusir; dan jutaan pengguna ChatGPT panik.
Assalamualaikum wbt dan selamat pagi. Ramai yang tak tahu satu masa dulu, Kesultanan Melayu Melaka pernah bertempur dengan satu kuasa besar Asia Tenggara iaitu Vietnam.
Tapi bukan Vietnam moden yang kita kenal hari ini. Masa itu mereka dikenali sebagai Dai Viet diperintah oleh Maharaja Le Thanh Tong, seorang raja yang bercita-cita besar nak kuasai seluruh Indo-China.
Anda boleh baca selebihnya di sini.
Sekitar Malaysia 🇲🇾
Jalan Jeli-Gerik bahaya
Jalan Raya Timur Barat yang merentasi Gerik ke Jeli berisiko tinggi, menurut Presiden Malaysian Road and Transportation Safety Association (MRTSA), Md Hairolazaman Muhamed Nor. Pada pandangan beliau, jalan tersebut bukan sahaja mempunyai selekoh tajam, cerun curam dan berkabus tebal, malah tidak mempunyai lampu jalan. Ketiadaan pembahagi jalan di laluan dua hala tersebut memburukkan lagi keadaan.
Saranan ini dikeluarkan susulan tragedi kemalangan bas yang mengorbankan 15 nyawa pelajar UPSI. Sebagai rekod, jalan tersebut sering terbabit dengan isu kemalangan maut. Namun, sehingga kini masih tiada penyelesaian terbaik dilakukan.
MRTSA mencadangkan supaya pembahagi jalan dibina untuk mengurangkan risiko kenderaan terbabas. Selain itu, lorong mendaki juga perlu ditambah untuk mengelak situasi potong-memotong secara berbahaya dilakukan pemandu. Laluan yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu sememangnya menjadi tumpuan ramai pengguna jalan raya dan perlu dinaik taraf segera.
Lain-lain:
EPF tersalah kira saham 99 Speed Mart. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terpaksa membuat pembetulan kepada pengumuman rasmi di Bursa Malaysia. Terdahulu, KWSP dilaporkan membeli 421.79 juta saham (5.02%) dalam 99 Speed Mart pada 4 Jun lepas. Dalam kemaskini terkini, KWSP memberitahu mereka sebenarnya hanya membeli 6 juta saham (0.07%) pada tarikh tersebut—menambah pegangan sedia ada sebanyak 5.02%. Dengan pegangan melebihi 5%, KWSP secara rasmi kini pemegang saham terbesar syarikat runcit paling dominan di Malaysia ini.
Pemandu bas ada rekod 18 saman. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, pemandu bas kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) memiliki 18 saman tertunggak. 13 daripadanya merupakan kesalahan memandu laju. Lebih mengharukan, bas tersebut juga turut mempunyai rekod 21 saman, di mana 16 daripadanya sudah dijatuhkan hukuman, manakala baki lima lagi masih dalam siasatan. PDRM juga dilaporkan menubuhkan pasukan petugas khas bersama MIROS, JPJ, dan APAD untuk menyiasat semua aspek kes tersebut. Sementara itu, Amirul yang kini dirawat di Hospital Taiping memberitahu kemalangan berpunca daripada brek yang tidak berfungsi.
Pengawal keselamatan tiada kuasa tahan atau imbas MyKad. Itu yang ditegaskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas tular satu kes di media sosial, di mana seorang pengawal keselamatan dilaporkan menggunakan alat elektronik untuk mengimbas maklumat MyKad seseorang pengunjung premis. Menurut JPN, hanya lima kategori pegawai yang dibenarkan meminta dan memeriksa MyKad di bawah Peraturan 7(1), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu:
Pegawai JPN
Polis
Kastam
Anggota tentera yang bertugas
Penjawat awam yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah JPN
Sekitar Dunia 🌎
Bekas pelajar tembak mati 10 orang di Austria
Austria dikejutkan dengan insiden tembakan paling dahsyat dalam sejarah moden negara itu apabila seorang bekas pelajar berusia 21 tahun menembak mati 10 orang—termasuk dirinya sendiri—di sebuah sekolah menengah pada pagi Selasa.
Polis menemui pistol dan senapang patah di lokasi kejadian. Penembak dipercayai bertindak bersendirian. Mayatnya ditemui dalam bilik air sekolah bersama surat perpisahan kepada ibu bapanya. Namun tiada penjelasan mengenai motif.
Mangsa terdiri daripada 6 wanita, dan 3 lelaki—kebanyakannya pelajar. 12 lagi cedera, termasuk beberapa yang parah. Laporan awal menyebut suspek menembak di dua bilik darjah, termasuk satu yang pernah menjadi kelasnya dahulu. Ada spekulasi bahawa beliau merupakan mangsa buli, namun siasatan masih berjalan. Austria mempunyai salah satu populasi awam bersenjata paling tinggi di Eropah; dianggarkan 30 senjata api untuk setiap 100 orang.
Lain-lain:
Greta Thunberg diusir keluar dari Israel. Aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, diterbangkan ke Paris semalam selepas ditahan bersama 11 aktivis lain dalam misi menghantar bantuan ke Gaza melalui laut. Bot kecil mereka, yang cuba memecahkan sekatan laut ke atas Gaza, telah dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa. 4 aktivis termasuk Greta bersetuju untuk dihantar pulang serta-merta. 8 lagi termasuk Rima Hassan, ahli Parlimen Eropah dari Perancis, masih ditahan sementara menunggu keputusan mahkamah. Menteri Luar Israel, Gideon Saar menyifatkan misi itu sebagai, “Gimik selebriti pro-Hamas yang langsung tak membantu warga Gaza.”
ChatGPT ‘crash’ di seluruh dunia. Platform AI popular, ChatGPT, mengalami gangguan besar semalam, menyebabkan jutaan pengguna di seluruh dunia tidak dapat mengakses perkhidmatan seperti biasa. Pengguna melaporkan masalah seperti: jawapan lambat atau tidak keluar langsung, glitch pada paparan atau prestasi sistem, atau laman tidak boleh diakses sepenuhnya. Beberapa bulan lalu, ChatGPT turut alami gangguan besar ketika fungsi imej gaya Studio Ghibli dilancarkan.
Sepintas Lalu 💨
Malaysia berjaya mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). (Malaysia NT)
Jenama telefon pintar Infinix, tampil memperkenalkan model baharu, Infinix Smart 10 di Malaysia dengan tanda harga RM299 sahaja. (Amanz)
400,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilaporkan langsung tidak pernah membayar hutang tersebut dengan nilai tunggakan kini sudah mencecah RM5 bilion. (Harian Metro)