Tiada Lagi Ganja Di Thailand
Trump terpaksa mencarut di depan media untuk menjelaskan kemarahannya kepada Israel dan Iran; keputusan STPM 2024; Foodie Media masuk IPO dan tiada lagi ganja di Thailand selepas ini.
Sekitar Malaysia 🇲🇾
STPM 2024 catat PNGK tertinggi
Keputusan STPM 2024 telah pun diumumkan dan buat pertama kali, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional melonjak ke paras tertinggi sebanyak 2.85, dan naik 0.01 mata daripada tahun 2023. Laporan menyatakan 1,266 calon (3.06%) berjaya raih PNGK 4.00; meningkat kepada 150 calon berbanding tahun lalu. Secara keseluruhan, 76.55% calon lulus penuh 4 atau 5 mata pelajaran (naik 0.7%).
Daripada 41,434 yang hadir, 41,422 daripadanya atau 99.97% calon layak dianugerahkan sijil. Pada masa sama, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) turut memilih 20 pelajar terbaik kebangsaan, termasuk:
8 pelajar Aliran Sains
8 pelajar Aliran Sains Sosial
1 pelajar Orang Asli
3 pelajar Pendidikan Khas (Spastik, buta, rabun)
Setiap penerima anugerah mendapat RM1,000, plak serta sijil. Kementerian Pendidikan juga memberi pengiktirafan kepada Pusat Tingkatan Enam terbaik berdasarkan Gred Purata Pusat (GPP). Dengan syarat pusat tersebut mesti ada sekurang-kurangnya 40 calon.
Lain-lain:
Anwar Ibrahim enggan lihat mahasiswa UMS dibuang. Mesej itu dibuat oleh PMX dan telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir. Menurut Anwar, para pelajar tersebut telah melakukan kesilapan tetapi masa depan mereka perlu menjadi keutamaan. Terdahulu, beberapa pelajar Universiti Malaysia Sabah yang menyertai protes Suara Mahasiswa di Kota Kinabalu minggu lepas bertindak membakar karikatur Anwar hingga menyebabkan pihak polis terpaksa masuk campur. Peserta ditahan telah disiasat atas sembilan kesalahan termasuk menyentuh isu 3R (raja, agama, kaum) dan diancam dibuang universiti.
Foodie Media bakal disenarai di Pasaran ACE. Empayar digital media milik pencipta kandungan terkenal, Nicholas Lim Pinn Yang, dilaporkan merancang untuk mengutip dana menerusi tawaran awam awal (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia. IPO ini akan menyaksikan Pinn Yang mengurangkan pegangan sahamnya daripada 27.35% kepada 21.81%. Dana IPO akan digunakan untuk meluaskan pengambilan pekerja baharu dan membeli bangunan khas untuk aktiviti siaran langsung. Ketika ini Foodie Media mempunyai 34 jenama termasuk Pinn Yang, KL Foodie, Bangkok Foodie, Penang Foodie, Foodie, Halal Foodie, Singapore Foodie, Johor Foodie dan Malaysia Homie.
Konflik Timur Tengah jejas penerbangan KL-Dubai. Ketegangan geopolitik di Timur Tengah mula memberi kesan langsung apabila penerbangan Batik Air OD713 dari KLIA ke Dubai terpaksa patah balik semula ke Malaysia. Ia susulan penutupan ruang udara Qatar dan UAE semalam. Penumpang yang terkandas telah diberikan hotel, makanan dan pengangkutan sementara menunggu penerbangan susulan. Selain itu, mereka turut diberi pilihan pembatalan penuh dengan bayaran balik atau tempahan semula.
Sekitar Dunia 🌎
Iran-Israel sepakat gencatan senjata
Selepas 12 hari berbalas-balas serangan peluru berpandu, akhirnya Israel dan Iran akhirnya bersetuju untuk melakukan gencatan senjata. Pengumuman dibuat oleh Presiden AS Donald Trump selepas Iran melancarkan serangan terhadap pangkalan udara AS di Qatar semalam.
Gencatan senjata bagaimanapun bermula dengan goyah apabila Tel Aviv menuduh Tehran melancarkan serangan di utara Israel selepas gencatan berkuatkuasa. Tel Aviv kemudiannya bertindak membalas serangan, sehingga menyebabkan kematian saintis nuklear Iran, Mohammad Reza Sedighi Saber di utara Iran.
Trump nyata berang dengan tindakan kedua-dua pihak. Bercakap kepada media sebelum berangkat pergi ke Persidangan NATO malam semalam, Trump buat pertama kalinya ‘mencarut’ untuk menunjukkan kemarahannya—terutama kepada Israel. “We basically have two countries that have been fighting so long and so hard that they don’t know what the f—- they’re doing,” katanya.
Lain-lain:
Serangan AS gagal lumpuhkan program nuklear Iran. Walaupun Presiden Donald Trump mendakwa serangan AS ke tiga loji nuklear Iran pada hujung minggu lalu telah "melumpuhkan sepenuhnya" keupayaan nuklear Iran, penilaian awal oleh agensi risikan tentera AS mendapati kerosakan sebenar jauh lebih terhad. Stok uranium diperkaya di tiga loji tersebut tidak musnah, begitu juga dengan pengempar (centrifuge) utama. “Serangan hanya akan melambatkan program nuklear Iran selama beberapa bulan, maksimum,” kata salah seorang sumber.
Rusia bedil Dnipro; 15 maut, 174 cedera. Rusia melancarkan serangan peluru berpandu ke atas bandar Dnipro semalam sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang awam maut dan lebih 170 cedera. Serangan ini menyasarkan kawasan awam seperti sekolah, hospital, bangunan kediaman dan sistem pengangkutan awam.
Thailand bakal haramkan semula ganja rekreasi. Thailand, negara Asia pertama yang menyahjenayah ganja pada 2022, kini sedang bersiap untuk mengharamkan semula penggunaannya bagi tujuan bukan perubatan. Ini bermakna, jika anda nak membeli ganja di Thailand, anda wajib ada preskripsi dari doktor. Sejak penyahjenayahan ganja pada 2022, lebih 10,000 dispensari ganja telah muncul di seluruh negara. Kes penyeludupan ganja rentas sempadan juga meningkat.
Sepintas Lalu 💨
Grab Malaysia secara rasminya melancarkan perkhidmatan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka. Ianya khas untuk pengangkutan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). (Wiser)
Bagi pengguna telefon pintar yang masih menggunakan Android versi 8.0 atau 9.0, anda disarankan untuk memuat naik versi baharu atau mendapatkan peranti model baharu. Ini kerana Google Chrome telah menamatkan sokongan untuk dua versi Android itu. (Amanz)
Tun Dr. Mahathir tampil memberi pujian kepada model Proton elektrik baharu, e.MAS 7, selepas mengujinya sendiri. (Vocket)