KWSP Saran Dana Persaraan RM650k
KWSP dedah tiga peringkat dana persaraaan; Malaysia destinasi utama pelancong perubatan; dan fenomena Worldcoin di negara membangun.
Assalamualaikum wbt dan selamat pagi. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengunjurkan anda memerlukan sekurang-kurangnya RM390,000 menjelang umur 60 tahun untuk “untuk menampung keperluan persaraan yang penting”.
Ini peningkatan 62.5% daripada unjuran KWSP terdahulu yang mengesyorkan dana persaraan minimum RM240,000 apabila anda bersara.
KWSP turut mendedahkan dana persaraan sebanyak RM390,000 itu sebenarnya masih dianggap “asas” dan hanya mencakupi 60% dana persaraan mencukupi iaitu RM650,000. Secara asasnya terdapat tiga jenis dana persaraan di mata KWSP:
Simpanan Asas (RM390,000): Menyokong pengeluaran bulanan sebanyak RM1,625 di tahun satu, meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun ke-20.
Simpanan Mencukupi (RM650,000): Membolehkan pengeluaran bulanan bermula pada RM2,708 di tahun satu, meningkat kepada RM7,389 menjelang tahun ke-20.
Simpanan Dipertingkat (RM1.3 juta): Menyediakan pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 di tahun satu, meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun ke-20 untuk persaraan yang lebih selesa.
KWSP turut mengeluarkan jadual simpanan mengikut tiga jenis dana persaraan ini. Berdasarkan baki KWSP anda sekarang, simpanan anda di tahap mana: asas, mencukupi atau dipertingkat?
Ekonomi 📊
Kos haji bagi jemaah Muassasah (apa maksud Muassasah?) kumpulan B40 dan M40 naik 20% pada 2025 akibat peningkatan kos penginapan, penerbangan, dan perkhidmatan di Tanah Suci. Bagi kumpulan B40, bayaran haji kini ditetapkan pada RM15,000 (berbanding RM12,356 pada 2024) manakala kumpulan M40 perlu membayar RM23,500. Jemaah T20 (berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan) pula perlu menjelaskan kos penuh sebanyak RM33,300. Menurut Tabung Haji, mereka menyediakan bantuan kewangan Haji sehingga RM18,300 untuk B40 dan RM9,800 untuk M40 bagi meringankan beban kos jemaah.
Mengapa kos haji meningkat pada 2025?
Kos meningkat disebabkan harga penginapan yang melonjak akibat pembangunan pesat di Makkah dan Madinah, serta kenaikan kos penerbangan dan harga minyak.Berapa kos penuh untuk seorang jemaah haji Muassasah?
Kos penuh ialah RM33,300 seorang.Berapa bantuan kewangan yang diberikan kepada B40 dan M40?
B40: RM18,300 (termasuk RM1,000 daripada kerajaan).
M40: RM9,800.
Berapa jumlah bayaran haji untuk setiap kumpulan?
B40: RM15,000.
M40: RM23,500.
T20: RM33,300 (tanpa bantuan).
Apakah usaha Tabung Haji untuk mengawal kos haji?
TH berusaha mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan untuk mengawal kos, meskipun menghadapi cabaran kenaikan harga minyak.
2. Pulau Pinang destinasi utama pelancong perubatan di ASEAN.
Pulau Pinang muncul sebagai destinasi utama pelancong perubatan, bukan sahaja di Malaysia, malah Asia Tenggara. Negeri itu menyumbang 45% daripada pendapatan pelancongan kesihatan Malaysia. Pada tahun lepas, sektor pelancongan niche ini menyumbang pendapatan RM1.92 bilion kepada negara, dan dijangka meningkat kepada RM2.4 bilion pada tahun ini.
Mengapa Malaysia menjadi destinasi pelancongan perubatan popular
Fasiliti perubatan bertaraf dunia
Profesional kesihatan yang berkemahiran tinggi
Harga rawatan yang berpatutan (kos pembedahan pintasan jantung di Malaysia hanya USD6,000-7,000. Kos pembedahan sama di Australia 2-3 kali ganda.)
Visa percuma untuk pelancong India dan China
Kebolehan berbahasa Inggeris dan Mandarin.
Siapa penyumbang terbesar pelancongan kesihatan Malaysia?
Pesakit dari Indonesia menyumbang 70%-80% daripada jumlah keseluruhan pelancong perubatan di Malaysia.Berapa jumlah pelancong kesihatan ke Malaysia pada 2023?
Lebih satu juta pelancong, meningkat lebih 15% berbanding 2022 (850,000 pelancong).
Kurangkan Cukai Anda: Manfaatkan Pelepasan 2024
“Tiada benda yang pasti dalam dunia selain kematian dan cukai.” Memandangkan tahun 2024 hampir berakhir, tibalah masa untuk anda memasang azam tahun baharu memanfaatkan pelepasan cukai pendapatan individu.
Jika anda dah biasa membuat e-filing, anda boleh melangkau bahagian ini. Jika anda tak biasa dan tak faham, bahagian ini adalah untuk anda.
1. Bagaimana cukai pendapatan anda dikira?
Cukai pendapatan di Malaysia dikira secara progresif. Bermakna, jika pendapatan anda RM4,000 sebulan (atau RM48,000 setahun):
RM5,000 pertama tak dicukai: RM0
RM15,000 seterusnya dicukai 1%: RM150
RM15,000 seterusnya dicukai 3%: RM450
Baki RM13,000 dicukai 6%: RM780
Jumlah cukai pendapatan (sebelum tolak pelepasan cukai): RM1,380
Anda boleh rujuk kadar cukai pendapatan di sini.
2. Apa cara untuk mengurangkan jumlah cukai pendapatan anda?
Ada 3 cara:
Pelepasan cukai (lihat senarainya di sini)
Rebat & zakat (lihat senarainya di sini)
Derma/hadiah (lihat senarainya di sini)
Dalam erti kata lain (dengan mengambil contoh di atas), jika anda tak memanfaatkan tiga perkara di atas, anda perlu membayar LHDN jumlah penuh iaitu RM1,380.
Jika anda memanfaatkan ketiga-tiganya, anda mungkin akan membayar LHDN dalam linkungan ratusan ringgit sahaja.
3. Apa cara LHDN memastikan saya tak tipu?
Dengan resit. Katakan anda kata anda beli laptop untuk mendapat pelepasan cukai sebanyak RM2,500, (jika anda diaudit) LHDN akan minta resit pembelian laptop tersebut. Jika anda gagal memberikan resit tersebut, anda akan dikenakan penalti 25-45% daripada jumlah cukai sebenar anda!
Itulah sebabnya LHDN menyarankan supaya setiap resit dalam senarai pelepasan cukai disimpan selama 7 tahun. Jika resit anda resit fizikal, anda perlu imbas dan simpan dalam bentuk digital.
4. Siapa yang akan dipilih untuk diaudit?
Menurut LHDN, terdapat lapan asas mereka akan memilih siapa akan diaudit. Tetapi secara asasnya, LHDN akan mengaudit individu yang menimbulkan ‘red flag’ dalam sistem mereka (pendapatan tinggi, pelepasan cukai tinggi, pendapatan tak diisytihar).
Teknologi 💻
Pernah tak dengar tentang Worldcoin?
Jika pernah, besar kemungkinan anda tergolong kepada dua golongan:
Dah daftar dan dapat Worldcoin.
Pernah baca atau diajak daftar Worldcoin.
Jika anda belum pernah dengar tentang Worldcoin, anggap ini pendedahan pertama anda—daripada saluran yang neutral dan tak berat sebelah. Kenapa ini pendedahan dari sudut neutral sangat penting? Anda akan tahu selepas habis membaca tentang Worldcoin di sini.
Apa itu Worldcoin?
Worldcoin adalah satu projek ‘AI + crypto’ ciptaan syarikat bernama Tools for Humanity (TFH). TFH diasaskan oleh Sam Altman (juga pengasas OpenAI yang menghasilkan ChatGPT) dan Alex Blania. Nama projek ini adalah '“World”.
World diasaskan untuk menyelesaikan satu masalah. Sebagai pengasas ChatGPT, Altman tahu satu hari nanti AI akan menjadi sangat maju sampai anda sendiri tak tahu—anda bercakap dengan AI atau manusia sebenar?
Solusinya? Mencipta satu sistem pengesahan ID manusia (dinamakan “World ID”) yang dihoskan di blockchain “World Chain” menerusi aplikasi “World App”. Untuk memberi insentif kepada manusia untuk mencipta ID ini, kriptowang bernama “Worldcoin” akan diberikan.
Masalah apa yang cuba diselesaikan oleh World?
Masalah Identiti Digital
Dengan AI semakin dominan, ancaman akaun palsu, bot, dan identiti maya tidak sah semakin meningkat. World ID cuba mencipta cara yang boleh dipercayai untuk mengenal pasti manusia sebenar dalam dunia digital.Penyertaan Ekonomi AI
TFH menjangkakan satu hari nanti AI mampu menghasilkan pendapatannya sendiri. Jadi Worldcoin dibuat supaya kekayaan yang dihasilkan oleh teknologi AI dapat diagihkan secara adil kepada semua manusia (yang memiliki Worldcoin).
Bagaimana nak dapat Worldcoin?
Untuk mendapat Worldcoin di Malaysia, anda perlu melengkapkan langkah-langkah berikut:
Cipta akaun Worldcoin
Mula-mula, muat turun aplikasi World App di telefon anda.
Daftar akaun menggunakan kod jemputan (invite code) yang anda dapat.
Pengesahan identiti (Verify)
Selepas akaun anda telah dicipta, pergi ke laman utama aplikasi dan klik pada butang “Verify”.
Cari lokasi Orb
Anda akan diberi dua pilihan:
“Verify Now”: Untuk pengesahan segera jika anda sudah berada di lokasi yang ada Orb.
“Find an Orb”: Pilihan ini membantu anda mencari lokasi berhampiran yang mempunyai Orb.
Pilih “Find an Orb” dan teruskan dengan menekan butang “Book an appointment”.
Tempah temujanji di MyEG
Pilih tarikh, masa, dan lokasi pejabat MyEG yang anda mahu pergi.
Pergi ke pejabat MyEG
Pada tarikh dan masa yang ditetapkan, hadir ke pejabat MyEG untuk menyelesaikan proses pengesahan.
Pengesahan akaun dilakukan dengan Orb, iaitu alat pengimbas iris.
Pengesahan dan ganjaran Worldcoin
Setelah imbasan iris mata selesai, akaun anda akan disahkan dalam aplikasi World App.
Anda akan menerima 25 Worldcoin (1 Worldcoin bernilai kira-kira RM10.85 ketika artikel ini ditulis) dalam akaun anda dalam masa 48 jam selepas proses ini berjaya.
Ganjaran bulanan
Selepas akaun anda disahkan, anda layak untuk menerima 6 token WLD setiap bulan selama 12 bulan, selagi anda terus menggunakan aplikasi dan menyelesaikan pengesahan seperti yang diperlukan.
Mengapa MyEG?
Di Malaysia, TFH bekerjasama dengan MIMOS Berhad dan MyEG untuk memperkenalkan projek World.
MyEG dipilih kerana kepakaran mereka dalam menyediakan perkhidmatan elektronik yang berkaitan dengan kerajaan, seperti sistem e-pembayaran dan pengurusan data dalam blockchain (menerusi pengalaman mereka membangunkan Zetrix).
Reaksi terhadap Worldcoin
Jika anda mula rasa ragu-ragu selepas membaca anda perlu mengimbas iris mata untuk mendapat Worldcoin, anda tidak keseorangan.
Sudah banyak negara menyuarakan kebimbangan mengenai amalan pengumpulan data biometrik:
EU: Sedang menyiasat projek ini kerana isu pengumpulan data tanpa persetujuan yang jelas dan potensi penyalahgunaan data.
Hong Kong: Mengarahkan Worldcoin menghentikan operasinya kerana melanggar undang-undang privasi, terutama dalam cara data iris dikumpulkan dan digunakan.
Kenya: Operasi dihentikan sementara untuk siasatan setelah kebimbangan muncul mengenai keselamatan data dan ketelusan projek. Walaupun operasi World kini disambung semula, kontroversi masih berlarutan.
Sesetengah pakar melihat Worldcoin sebagai projek eksploitasi, di mana TFH mengambil data biometrik dengan ganjaran yang minimum.
Ada juga kebimbangan bahawa Worldcoin mencipta monopoli digital dengan memegang kuasa besar ke atas data biometrik global.
Tetapi jika anda lebih optimistik dengan projek World, anda juga tidak keseorangan. Di Facebook sahaja, terdapat hampir 20,000 orang Malaysia sudah menjadi ahli kepada tiga Facebook Groups khas untuk Worldcoin.
Kesimpulan
World dilihat sebagai projek inovatif yang bercita-cita tinggi, tetapi pendekatannya menimbulkan banyak tanda tanya. Persoalan utama yang terus dibincangkan ialah:
Adakah kita benar-benar memerlukan pengesahan identiti melalui biometrik untuk dunia digital?
Adakah ganjaran Worldcoin cukup untuk menebus kebimbangan mengenai privasi dan etika?
Kewangan Peribadi 💰
Jenis aset pelaburan ada dua jenis: tradisional dan alternatif.
Pelaburan tradisional dah lama wujud dan menjadi aset utama. Contoh, ekuiti dan bon (versi Islamik, Sukuk) Aset pelaburan alternatif pula seperti komoditi dan hartanah.
Ekuiti: Ekuiti adalah syer pegangan dalam syarikat. Ekuiti diterbitkan untuk mendapatkan sumber kewangan syarikat. Dapat untung melalui dua cara iaitu penerimaan dividen dan kenaikan nilai seunit syer.
Bon/Sukuk: Bon atau sukuk adalah hutang yang dicipta oleh syarikat untuk mendapatkan dana menjalankan projek atau mengembangkan operasi syarikat. Di mata pelabur, boleh untung dengan cara penerimaan pembayaran kupon berkala atau penjualan bon/sukuk di pasaran terbuka.
Tunai: Biasanya disebut sebagai Money Market. Sebenarnya adalah salah satu cabang bon tetapi hanya dalam tempoh setahun. Penting sebuah syarikat aktif di pasaran Money Market, untuk sumber cepat bagi menampung operasi harian. Cara dapat untung? Peratus keuntungan atau caj seperti Interest.
Komoditi: Komoditi penting dalam sesebuah industri, sebagai bahan mentah. Contoh; besi, minyak, kelapa sawit dan getah. Ada yang tidak mahu terlepas melabur dalam komoditi. Buat untung dengan perbezaan harga jual dan beli.
Hartanah: Hartanah penting dalam komuniti, sebagai tempat menjalankan aktiviti komersil (kilang dan gudang) dan tempat kediaman. Buat untung dari hasil sewaan dan transaksi jual beli.
Pelabur mahu kurangkan risiko pelaburan. Jadi, pelabur yang baik tidak mempunyai konsentrasi pada satu jenis aset pelaburan sahaja. Kepelbagaian jadi subjek utama atau disebut sebagai ‘diversification’.
Secara ‘direct’, untuk pelabur mendapat kesemua jenis aset ini adalah dengan:
1. Membeli pegangan ekuiti di pasaran saham secara terbuka.
2. Melanggan bon / sukuk di pasaran kewangan.
3. Mencari aset Tunai atau Commercial Paper.
4. Membeli kontrak-kontrak komoditi.
5. Membeli hartanah dan menyewakan.
Untuk buat seperti diatas, pelabur kena mempunyai 3 aspek utama.
a. Modal yang besar, 5-6 angka ke atas.
b. Masa yang banyak, ada memerlukan tindakan secara aktif.
c. Kepakaran tertentu, setiap jenis aset ada skill set tersendiri.
Itulah dia jenis-jenis aset pelaburan.
Tahun baru semakin menghampiri, tetapi anda tidak tahu dari mana nak dapatkan motivasi bagi memulakan azam baru, memulakan hidup baru, memulakan perjalanan baru? Jadi, kami tawarkan kepada anda dua buku terbaru kami!
Buku pertama ialah BANGSA ENAM ANGKA! Anda mahu tahun baru anda dihujani dengan tips-tips kewangan yang membolehkan anda memiliki duit sehingga mencecah Enam Angka? Jangan risau, penulis Enam Angka Menjelang Disember dan Enam Angka Menjelang 25 yang kedua-dua bukunya dah terjual lebih 15,000 unit kini datang dengan buku baru, BANGSA ENAM ANGKA!
Atau cari motivasi daripada kisah seorang CEO terkenal dari Amerika, Steve Barlett yang menulis sebuah buku yang mencatatkan kehidupannya sebagai CEO. Untuk pengetahuan semua, bukunya TERJEMAHAN BAHASA MELAYU! Versi Bahasa Inggeris dah terjual lebih 2 JUTA DI PASARAN ANTARABANGSA!
Jadi, mulakan tahun baru anda dengan semangat baru dan buku baru daripada kami. Kedua-duanya boleh didapati di Shopee kami!
Semuanya dengan harga diskaun kalau anda beli ketika PRA-TEMPAH!
Jika anda suka dengan kandungan kami pada minggu ini, sila share dengan kawan-kawan dan keluarga.