Pengarah Menyampah Dengan Squid Game
Pengarah Squid Game Hwang Dong-hyuk mengaku siri itu menjejaskan kesihatannya; ASB umum dividen 5.75%; dan punca lori kerap kemalangan minggu ini.
Assalamualaikum wbt dan selamat pagi. Setiap kali musim cuti sekolah dan perayaan tiba, ada dua perkara yang pasti terjadi: destinasi percutian menjadi sibuk dan kemalangan jalan raya meningkat. Kami minta maaf kerana mulakan surat berita minggu ini dengan berita sedih.
Takziah kami ucapkan kepada keluarga mangsa nahas ngeri di KM 204 Lebuh Raya PLUS arah utara Ayer Keroh. Kami mendoakan supaya Allah SWT memberikan kesabaran kepada keluarga mangsa, dan mangsa ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Ini adalah surat berita terakhir untuk tahun 2024. Untuk tahun depan, kami akan terus berusaha menjadikan The Outlook sebagai surat berita berkualiti untuk anda pada setiap hari minggu. Anda minat tak baca kalau The Outlook ditulis setiap hari?
Sorotan Nombor 🧮
RM6 juta—adalah amaun yang akan dibayar oleh DBKL kepada 14 pemilik rumah di Taman Desa kerana membina jalan di lot tanah rumah mereka. Seorang pemilik rumah dilaporkan telah hilang 1,009 kaki persegi tanah akibat pembinaan jalan ini. Menurut penduduk, pada mulanya DBKL enggan melayan tuntutan mereka supaya membayar, tetapi DBKL akhirnya menyerah kalah. Ini selepas pemilik rumah bertindak meletak objek penghalang di jalan tersebut.
51%—adalah rating kelulusan terbaharu kerajaan Madani, naik berbanding 46% pada tahun lepas. Rating kelulusan PMX pula meningkat kepada 54% dalam kalangan pengundi Malaysia berbanding 50 peratus tahun lepas, menurut kaji selidik Merdeka Center.
Kurang 150—adalah jumlah Harimau Malaya liar di Malaysia menurut Survei Harimau Kebangsaan Pertama (2016–2020), menjadikannya spesies sangat terancam (critically endangered). Aktiviti pemburuan haram dan kehilangan habitat adalah dua punca utama spesies harimau ini semakin pupus.
Sekitar Malaysia 🇲🇾
Lori menjadi subjek kemarahan rakyat pada minggu ini.
Dalam masa 48 jam sahaja, terdapat dua kemalangan lori berprofil tinggi berlaku. Kemalangan pertama, seperti yang telah kita bincang tadi, telah mengorbankan lima nyawa. Kemalangan kedua yang berlaku di KM 28, Lebuhraya Karak arah Gombak, walaupun tidak mengorbankan sebarang nyawa, tetap menakutkan.
Kedua-dua kemalangan dikatakan berpunca daripada kerosakan lori:
Kemalangan di Ayer Keroh berpunca apabila tayar hadapan sebuah treler tercabut dan tak sempat dielak oleh bas di belakangnya.
Kemalangan di Gombak berpunca akibat kegagalan brek hadapan sebuah lori tangki minyak. Pemandu lori dikatakan sempat membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu di belakangnya untuk menjauhkan kenderaan mereka dari lorinya.
Susulan dua kes ini, netizen rata-ratanya menuding jari kepada tiga pihak:
Kementerian Pengangkutan kerana mengecilkan kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjadi agensi.
JPJ kerana penguatkuasaan lemah.
‘Pilot darat’ dan majikan mereka kerana budaya penyelenggaraan yang lemah dan cara pemanduan yang berbahaya.
Di TikTok, terdapat sebuah video yang menunjukkan bagaimana ada ‘pilot darat’ yang ‘mengukir’ bunga tayar daripada tayar yang sudah haus.
Enable 3rd party cookies or use another browser
Di X, netizen menyertakan banyak bukti pemandu lori yang kerap memandu di lorong paling kanan—walaupun peraturan jelas menetapkan kenderaan berat perlu ikut lorong kiri sahaja (kecuali jika memotong).
Lain-lain
ASNB umum dividen 2024: 5.75%, naik berbanding 5.25% pada 2023. Jika anda menyimpan RM1,000 di ASB, nilai simpanan anda akan naik kepada RM1,057.50. Tetapi jika anda menyimpan RM1,000 di bawah bantal, nilai simpanan anda akan menyusut kepada RM982.00 (berdasarkan kadar inflasi purata 1.8% pada Oktober 2024 oleh DOSM). Jika anda belum melabur dalam ASB, buat sekarang. Rugi tak buat.
BNM keluarkan 4 arahan kepada syarikat insurans. Susulan tindakan syarikat insurans yang menaikkan premium insurans perubatan secara drastik, Bank Negara Malaysia mengeluarkan empat arahan sementara:
Kenaikan premium perlu disebarkan selama tiga tahun. Bukan sekaligus.
Penangguhan kenaikan premium selama setahun untuk pemegang polisi 60 tahun ke atas dengan pelan minimum.
Pilihan pelan alternatif dengan premium lebih rendah tanpa kos tambahan atau penilaian semula.
Pemegang polisi yang menamatkan polisi mereka pada 2024 boleh meminta pengembalian polisi tanpa penilaian semula.
Korporat 💼
Pengambilalihan MAHB: tawaran RM11/saham adil atau tidak?
Tawaran pengambilalihan RM11/saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh konsortium Khazanah Nasional Bhd dan KWSP menjadi perdebatan.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), tawaran itu tidak adil, kerana ia 12.77%-19.77% di bawah anggaran nilai RM12.61-RM13.71/saham.
Namun, CGS International Research tidak bersetuju dengan HLIB, menyatakan bahawa penilaian HLIB mengambil kira nilai RM2.48 sesaham bagi tanah Aeropolis yang belum memberikan hasil tunai signifikan. Jika nilai tanah ini dikeluarkan, nilai HLIB turun kepada RM10.13-RM11.23/saham, menjadikan tawaran RM11/saham itu lebih munasabah.
Bagi pengarah bukan berkepentingan MAHB, mereka berkata tawaran RM11/saham ini tidak adil dan tidak munasabah. Mereka menyeru pemegang saham menolak tawaran kerana potensi pertumbuhan masa depan MAHB yang kukuh.
Pengarah bukan berkepentingan MAHB terdiri daripada Datuk Mohamad Husin, Ramanathan Sathiamutty, Cheryl Khor Hui Peng, Datuk Seri Koe Peng Kang, and Chris Chia Woon Liat.
Jika anda memegang saham MAHB (AIRPORT 5014), anda akan terima atau tolak tawaran ini?
Sekitar Dunia 🌎
Sebuah pesawat Azerbaijan Airlines terhempas berhampiran Aktau, Kazakhstan sekaligus mengorbankan 38 orang dan mencederakan 29 yang lain. Pesawat itu berlepas dari Baku, Azerbaijan dan dalam perjalanan menuju ke Grozny, Russia. Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia berada dalam pesawat tersebut. Penemuan bangkai pesawat yang mempunyai kesan tembakan meniup spekulasi bahawa pesawat tersebut ditembak oleh sistem pertahanan udara Rusia.
Polis Indonesia menahan 18 pegawai imigresen kerana disyaki memeras ugut pelancong Malaysia. Kejadian berlaku ketika konsert Djakarta Warehouse Project, apabila 45 pelancong Malaysia mendakwa pegawai imigresen Indonesia memaksa mereka membayar duit sebelum pasport mereka dicop, dipaksa menjalani ujian air kencing, dan diugut menyerahkan duit walaupun keputusan air kencing mereka negatif. Hasil peras ugut? Lebih RM690,000 menurut polis Indonesia.
Trump ‘ajak’ Kanada jadi negeri ke-51 AS. Dalam mesejnya sempena Krismas, bakal Presiden AS Donald Trump berjenaka dengan mencadangkan Kanada menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat. Dalam mesej sama, Trump menjanjikan pengurangan cukai dan perlindungan dari tentera AS. Seperti yang anda jangka, rakyat Kanada tak menganggap jenaka Trump sebagai kelakar.
Teknologi 💻
Squid Game musim kedua keluar minggu ini!
Selepas menggegar dunia pada hujung 2021 lepas, Squid Game akan kembali dengan musim keduanya minggu ini. Berbanding sembilan episod pada musim sulungnya, musim kedua Squid Game bagaimanapun hanya mengandungi tujuh episod.
Tetapi jangan risau—musim ketiga (dan terakhir) Squid Game akan keluar pada hujung 2025 nanti.
Walau bagaimanapun, keterujaan peminat siri ini tidak dikongsi oleh penciptanya Hwang Dong-hyuk. Menurut Dong-hyuk, beliau “sudah menyampah” dengan Squid Game:
Dong-hyuk pada mulanya tidak berniat untuk membuat musim kedua dan ketiga Squid Game kerana “proses menulis, menerbit dan mengarah siri ini sangat mencabar”.
Dong-hyuk berkata dia hilang 8-9 biji gigi semasa mengarah musim pertama Squid Game kerana stres.
Hasil Squid Game, Dong-hyuk muncul rakyat Korea Selatan pertama memenangi anugrah Emmy untuk kategori Pengarah Drama Terbaik pada tahun 2022. Siri itu turut memenangi enam kategori lain dalam Emmy pada tahun itu.
Fakta Squid Game:
Dalam masa sebulan, Squid Game mencatat lebih 1.6 billion jam tontonan—menjadikannya salah satu siri Netflix paling berjaya.
Dong-hyuk mengambil masa 12 tahun untuk menghasilkan musim pertama Squid Game.
Kasut putih yang dipakai watak peserta-peserta Squid Game menyebabkan jualan kasut putih Vans naik 7,800% dalam masa setahun.
Bajet produksi musim pertama: USD21.4 juta. Hasil pendapatan musim pertama: hampir USD900 juta.
Kejayaan Squid Game menyebabkan Netflix melabur USD2.5 bilion untuk menghasilkan lebih banyak kandungan berasaskan Korea Selatan.
Kewangan Peribadi 💰
Sesiapa yang berpegang pada teori pasaran (efficient market theory), mungkin berpendapat bahawa pasaran semasa masih dalam keadaan ‘weak’ - dari segi maklumat, pelabur belum matang dan kos.
Berlandaskan teori ini, setiap informasi keluar tidak refleksi nilai pelaburan semasa di pasaran kewangan.
Ini menyebabkan perbezaan harga persepsi dan nilai sebenar pelaburan.
Banyak terjadi aset pelaburan ‘undervalue’ dan ‘overvalue’.
Pelabur boleh ambil peluang untuk eksplotasi kelompongan maklumat. Berdasarkan ruang ini, dengan amalan konsep One Price Law, pelabur boleh buat keuntungan optimum dengan bergiat aktif atau mengamalkan strategi aktif pelaburan (active investment strategy).
Kena berada di pasaran kewangan, memahami situasi mis-price, banyak aktiviti jual dan beli. Bila aktif, isunya adalah kos transaksi.
Banyak transaksi, nilai pelaburan peribadi banyak dimakan oleh caj-caj. Siapa yang untung? Sudah tentu, bukan pelabur.
Walaupun pasaran masih belum berada dalam fasa efisien, wujud golongan yang mencadangkan cara pelaburan secara pasif.
“Buat apa jual beli, hadap skrin tetapi hasilnya sama dengan letak duit pelaburan, biarkan bekerja, kita main PS5, jalan-jalan melancong.
Sebab itu, pelabur hari ini sangat skeptikal dengan caj dan pelaburan secara aktif dan memilih secara pasif (melalui ETF, REIT, unit trust dan lain-lain).
Atas sebab ini juga wujud pelaburan yang ringkas, menggunakan algoritma dan robo-advisor.
Tahun baru semakin menghampiri, tetapi anda tidak tahu dari mana nak dapatkan motivasi bagi memulakan azam baru, memulakan hidup baru, memulakan perjalanan baru? Jadi, kami tawarkan kepada anda dua buku terbaru kami!
Buku pertama ialah BANGSA ENAM ANGKA! Anda mahu tahun baru anda dihujani dengan tips-tips kewangan yang membolehkan anda memiliki duit sehingga mencecah Enam Angka? Jangan risau, penulis Enam Angka Menjelang Disember dan Enam Angka Menjelang 25 yang kedua-dua bukunya dah terjual lebih 15,000 unit kini datang dengan buku baru, BANGSA ENAM ANGKA!
Atau cari motivasi daripada kisah seorang CEO terkenal dari Amerika, Steve Barlett yang menulis sebuah buku yang mencatatkan kehidupannya sebagai CEO. Untuk pengetahuan semua, bukunya TERJEMAHAN BAHASA MELAYU! Versi Bahasa Inggeris dah terjual lebih 2 JUTA DI PASARAN ANTARABANGSA!
Jadi, mulakan tahun baru anda dengan semangat baru dan buku baru daripada kami. Kedua-duanya boleh didapati di Shopee kami!
Semuanya dengan harga diskaun kalau anda beli ketika PRA-TEMPAH!
Jika anda suka dengan kandungan kami pada minggu ini, sila share dengan kawan-kawan dan keluarga.