Sehari 2-3 Rakyat Malaysia 'Serah' Lebih RM264k Kepada Scammer
Peningkatan kadar ringgit sejak akhir-akhir ini mungkin akan menaikkan selera anda untuk melabur; dan selera scammer untuk menipu pelabur naif.
The Outlook merupakan surat berita bisnes, ekonomi dan kewangan mingguan dari The Patriots Asia. Jika anda suka dan mendapat manfaat daripada kandungan ini, sokong kami dengan menekan butang ‘Subscribe now’ di bawah.
Pelaburan 💸
Ringgit kuat, pelabur semangat. Bank Negara Malaysia (BNM) optimistik trend pengukuhan ringgit bakal kekal. Ringgit adalah matawang paling cemerlang dalam pasaran sedang membangun pada suku ketiga 2024. Pada hari Rabu, ia naik ke paras tertinggi, mencecah 4.1080 berbanding dolar, yang paling kuat sejak Jun 2021. Sebabnya ada dua:
Rangsangan ekonomi dari China—rakan dagang terbesar Malaysia.
Keputusan Fed yang memotong kadar faedah AS.
Hasil pengukuhan ringgit ini, terdapat cadangan agar pelabur memanfaatkan peluang ini untuk membeli saham luar negara—contohnya di pasaran saham AS. Ringgit kuat = saham lebih murah.
Pelabur semangat, penipu pun meningkat. Sementara kita bercakap tentang pelaburan, ingat: tiada jalan mudah untuk untung. Bila kita semangat melabur, penipu senang ‘hidu’. Seorang pesara baru-baru ini kehilangan lebih RM1.24 juta lepas terpedaya dengan pelaburan saham IPO palsu yang dia nampak di Facebook. Antara Januari hingga Jun 2024 sahaja, sejumlah 443 kes penipuan pelaburan (saham, IPO, emas, kripto, forex dsb) dengan kerugian lebih RM117 juta telah direkodkan.
Ini bermakna sepanjang 2024 :
Sebanyak 2.5 kes penipuan direkodkan sehari dengan;
…purata kerugian RM264,108.35 bagi setiap kes!
📹 Tengok penerangan bagaimana skim penipuan forex beroperasi:
Enable 3rd party cookies or use another browser
Ekonomi 📊
Pelancong India semakin meningkat. Thailand dan Malaysia disebut sebagai dua negara terawal di dunia yang berjaya mengesan trend peningkatan kedatangan pelancong dari India. Peningkatan saiz kelas pertengahan India (terutamanya golongan muda berijazah) menyaksikan peningkatan lebih 27 juta pelancong dari negara itu sejak 2019. Jumlah ini dijangka akan naik ke 90 juta pada 2040.
Malaysia mengalu-alukan kedatangan pelancong India dengan dua cara:
Mengecualikan visa selama 30 hari kepada pelancong India.
Menambah laluan penerbangan India-Malaysia baharu dan menaikkan kekerapan.
Menurut Tourism Malaysia, setakat April 2024, kedatangan pelancong India meningkat 80.2% berbanding tahun sebelumnya—mencecah 295,000 pengunjung. Sasaran Tourism Malaysia pada 2024? 1 juta pelancong India.
430,000 peminjam PTPTN tak pernah bayar langsung. Jumlah hutang yang tak terbayar ini mencecah RM6 bilion. Dan yang lebih mengejutkan, ramai daripada peminjam ini sudah pun mempunyai kerjaya yang stabil. Sebelum ini, peminjam yang ingkar tidak dibenarkan untuk pergi keluar negara. Tetapi pada masa akan datang, PTPTN sedang berkira-kira untuk mengambil tindakan undang-undang. Bayangkan berapa banyak pahala amalan tergantung sebab tak bayar hutang.
348 perpustakaan ditutup sepanjang 2019-2023. Jumlah perpustakaan berkurang dari 3,002 pada 2019 kepada 2,654 pada tahun lepas. Faktornya ada empat: peralihan dunia ke digitalisasi, perubahan pentadbiran, pemusatan, dan penyatuan perpustakaan kecil. Menurut Persatuan Pustakawan Malaysia, faktor digitalisasi bagaimanapun bukanlah faktor utama penutupan perpustakaan.
Perniagaan 💼
AirAsia X rancang ambil alih Capital A. AirAsia X mengumumkan pelan bernilai RM6.8 bilion untuk menggabungkan tujuh syarikat penerbangan—Malaysia AirAsia, Thai AirAsia, Philippines AirAsia, Indonesia AirAsia, AirAsia Cambodia, Thai AirAsia dan Thai AirAsia X—di bawah payung Capital A.
Menurut AirAsia X, apabila semua bersatu, koordinasi rangkaian penerbangan pun lebih teratur. Yang paling penting, mereka boleh capai skala ekonomi yang lebih besar—lebih jimat dan lebih efisien dari segi pengurusan fleet dan kos operasi. Ini bermaksud harga tiket yang lebih kompetitif, sambil mengekalkan margin keuntungan yang munasabah.
Tapi, langkah besar ni juga bukan tanpa risiko. Capital A, yang dulunya dikenali sebagai AirAsia Group, harap langkah ni akan bantu mereka keluar dari status Practice Note 17 (PN17)—label untuk syarikat yang menghadapi masalah kewangan. Kalau rancangan ini tak berjaya, Capital A mungkin terus terperangkap dalam status PN17, yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
Geopolitik 🌍
FAQ mengapa Israel mengulangi genosid Gaza di Lubnan.
Q1: Adakah Hamas dan Hizbullah sama?
Tak sama. Di Gaza, Hamas memerintah sepenuhnya, manakala di Lubnan, Hizbullah hanya sebahagian daripada struktur politik dan tentera. Lubnan ada dalam sistem kerajaan dan kewangan yang bersalingkait dengan dunia, sementara Hamas lebih bergantung pada bantuan antarabangsa seperti dari PBB.
Q2: Kedua-duanya ‘proksi Iran’ kan?
Mereka sekutu, tapi tak sepenuhnya ‘proksi’. Israel sering kaitkan kedua-dua kumpulan ni dengan musuh utamanya: Iran. Tetapi hubungan mereka dengan Iran berbeza. Hizbullah lebih dekat dengan agenda serantau Iran. Tetapi Hamas lebih bebas, walaupun masih dapat sokongan dari Iran.
Q3: Israel kata kedua-duanya menggunakan perisai manusia. Betulkah?
Di Gaza, Israel mendakwa Hamas menyembunyikan senjata di sekolah hospital, kem pelarian dan fasiliti UN. Di Lubnan, Israel menuduh Hizbullah melakukan perkara sama di rumah orang awam. Nampak lain, tetapi tetap sama kerana mangsa kekejaman Israel paling ramai adalah orang awam.
Q4: Bagaimana keadaan orang awam?
Walaupun Israel mendakwa telah menghantar amaran kepada rakyat Lubnan sebelum serangan, tapi ia masih menyebabkan lebih 600 orang terbunuh dan lebih 2,000 cedera. Dan sama seperti di Gaza, jumlah orang awam di Lubnan yang dibunuh Israel semakin bertambah.
Q5: Adakah orang di Lubnan juga berpindah seperti di Gaza?
Ya, ramai yang terpaksa lari dari rumah mereka. Sekarang, kira-kira 500,000 orang telah dipindahkan keluar dari Lubnan , termasuk yang mencari perlindungan di kem-kem pelarian Palestin.
Q6: Kalau berbeza, kenapa Israel guna taktik sama?
Israel cuba menamatkan genosid ini secepat mungkin—dengan membunuh seramai mungkin orang awam. Mereka menggunakan strategi yang serupa seperti di Gaza, kerana Hizbullah dikatakan ada rangkaian terowong yang luas, sama seperti Hamas. Israel seboleh-bolehnya nak mengelak perang darat yang panjang dan tak nak terperangkap lama di Lubnan .
Teknologi 💻
TikTok masuk ke wilayah Google pula. Selepas gagal menyaingi Spotify dan Apple Music menerusi TikTok Music, TikTok kini mahu mencabar Google pula dalam arena carian berbayar.
Jadi, kalau anda mencari sesuatu produk atau topik tertentu, iklan yang relevan akan muncul di halaman keputusan carian TikTok.
Adakah TikTok boleh memberi saingan kepada Google? TikTok optimistik kerana data mereka menyokong dakwaan bahawa Gen Z dan Alpha menggunakan TikTok dan Instagram sebagai enjin carian mereka, bukannya Google. Menurut TikTok, 57% penggunanya menggunakan fungsi carian dalam aplikasi, dan 23% terus mencari sesuatu dalam masa 30 saat selepas buka aplikasi.
Daripada ujiannya, TikTok turut mendapati bahawa pengiklan yang menggunakan iklan carian di samping iklan dalam feed mendapat 20% peningkatan jualan. Malah, pengguna yang tak berinteraksi dengan iklan dalam feed, 18% daripada mereka akhirnya berbuat demikian selepas nampak iklan carian yang sama.
Perusahaan Sosial 🌱
AmBank Islamic Bhd mengumumkan peruntukan RM450,000 untuk menyokong Ibupreneur Malaysia, sebuah perusahaan sosial yang fokus memperkasakan usahawan wanita.
Sejak 2019, Ibupreneur telah melatih ramai ibu tunggal, yang menganggur, dalam golongan B40 atau wanita warga emas yang mempunyai simpanan KWSP rendah untuk menjadi usahawan mikro. Tidak cukup dengan melatih, Ibupreneur turut membantu golongan ini dengan memberi sokongan perniagaan dan platform untuk menjual skil dan produk mereka kepada orang ramai.
Apa yang menarik, sokongan AmBank Islamic ni bukan sekadar dana semata-mata. Mereka juga akan menggerakkan pekerja mereka sebagai sukarelawan untuk kendalikan bengkel dan sesi latihan untuk para peserta Ibupreneur sepanjang program ini. Tahniah, Ibuprenuer! Semoga lebih ramai wanita akan berjaya dibantu.
KLIK di sini untuk mengenali Ibupreneur dengan lebih lanjut.
Kewangan Peribadi 💰
Ramai yang ingat, melabur ini sudah memadai dengan ada ilmu teknikal pelaburan.
Realiti, hari ini terlalu mudah nak belajar melabur. Boleh tengok akses percuma dan perkongsian ilmiah oleh pempengaruh. Percuma.
Jika tidak, boleh layari laman seperti BursaMarketPlace. Banyak video-video yang berkualiti dihasilkan dan dikongsikan. Ini pun percuma.
Cuma, isu sebagai pelabur bukan ilmu teknikal semata-mata. Tapi, ilmu kawal perasaan tatkala melabur.
Apa sahaja kerja memang memerlukan ‘passion’ tapi perkara mengganggu emosi boleh senang terjadi.
Masuk pasaran pelaburan selepas menempuh kesesakan kereta, lepas tukar lampin anak, gaduh nak makan mana sarapan dan macam-macam lagi.
Belum lagi masuk grup WhatsApp dan Telegram yang banyak gosip pelaburan, berita tak sahih, cerita kawan-kawan, gebang sifu dan macam lagi.
Era moden, melabur bukan hanya memerlukan IQ tapi EQ yang stabil.
Anda nak tahu lebih lanjut tentang Khulafa’ Ar-Rashidin? Pra-Tempah segera buku KHULAFA’ RASYIDIN di Shopee The Patriots:
Apa? Nak tengok dulu? Boleh. Jemput baca bab pertama buku ini dahulu.
Jika anda suka dengan kandungan kami pada minggu ini, sila share dengan kawan-kawan dan keluarga.