Rumah RM300k: Mampu Milik atau Mampu Tengok
REHDA melaporkan rumah berharga RM300,001 hingga RM700,000 paling banyak dijual oleh pemaju pada 2024. Tetapi siapa sasaran pembelinya?
The Outlook merupakan surat berita bisnes, ekonomi dan kewangan mingguan dari The Patriots Asia. Jika anda suka dan mendapat manfaat daripada kandungan ini, sokong kami dengan menekan butang ‘Subscribe now’ di bawah.
Yang hangat pada minggu ini 🔥
Rumah berharga RM300,000 hingga RM700,000 paling banyak dijual oleh pemaju pada 2024—melebihi harga median mampu milik.
Misi menghidupkan kembali ‘Wi-dead’–saham yang jatuh 89% pada tahun ini–terletak di tangan pengasasnya.
Peminat Apple memberikan 5 sebab mengapa iPhone 16 tidak mengujakan mereka.
Pelaburan 💸
Selamat tinggal China, selamat datang Asia Tenggara. Terima kasih kepada perubahan polisi Rizab Persekutuan (Fed) dan trend ekonomi China yang lembab, pelabur asing kini telah beralih kepada pasaran modal Asia Tenggara.
Indeks MSCI Asean ketika ini berada pada paras tertinggi sejak April 2022, dan kemasukan dana asing telah memasuki minggu kelima berturut-turut. Soalan: kenapa mereka galak membeli ekuiti di pasaran modal Asia Tenggara?
Thailand: Dana Vayupak (macam PNB di Malaysia) menarik kemasukan modal asing, dengan pelaburan domestik yang strategik.
Singapura: Pasaran REIT (Real Estate Investment Trust) yang stabil, sesuai untuk pelabur mencari pulangan stabil.
Vietnam: Saham syarikat pengeksport jadi tumpuan dengan prospek pemulihan ekonomi.
Malaysia: Saham teknologi menerima faedah daripada polisi berkecuali kerajaan dalam landskap global yang tidak menentu.
Indonesia: Saham komoditi Indonesia menarik kerana harga murah dan polisi fiskal yang lebih longgar.
Penganalisis menjangkakan jika Fed terus menurunkan kadar faedah di AS, rali ini mungkin berpanjangan sehingga 2025.
RM160 bilion: angka pelaburan langsung asing (FDI) pada separuh pertama 2024. Meskipun mendapat tentangan sengit dari negara-negara jiran, angka FDI Malaysia naik 18% berbanding tempoh sama pada tahun lepas. Faktornya? Ekonomi kukuh, inflasi rendah (2.0%), dan kadar faedah stabil (3.0%).
Lebih separuh FDI ini pergi ke sektor pembuatan, dengan fokus kepada teknologi tinggi seperti semikonduktor. Tugas besar kerajaan sekarang: pastikan PMKS dapat merasai limpahannya, dan mengekalkan momentum ini.
Ekonomi 📊
Bagai mencurah air ke daun keladi. Disebalik seruan daripada rakyat dan ahli akademik untuk membina rumah mampu milik, ‘rumah mampu tengok’ jugalah yang dilancarkan oleh pemaju. Menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), sebanyak 11,814 unit dilancarkan—naik 7%—tapi kebanyakannya dalam julat RM300,001 hingga RM700,000.
Berapa sepatutnya harga rumah mampu milik di Malaysia? Menurut Dr. Suraya Ismail dari Khazanah Research Institute pada tahun 2019, harga median rumah mampu milik adalah RM211,428. Mengambil kira kadar inflasi, harga median rumah mampu milik pada tahun 2024 sepatutnya dianggarkan sekitar RM245,103. Maka tak hairanlah angka penyewa—berbanding pembeli rumah—semakin meningkat.
Perniagaan 💼
“Biar aku buat sendiri.” Ini mungkin kata Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah (gambar atas) selepas turun semula ke padang sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif Widad Group untuk menyelamatkan syarikat yang diasaskan beliau sendiri. Widad diberi nama ‘Wi-dead’ oleh pelabur tempatan pada tahun ini selepas sahamnya jatuh 89%—menyebabkan nilai syarikat merudum dari RM1.5 bilion kepada RM170 juta.
Sebelum ini, Tan Sri Ikmal tidak mengambil peranan aktif dalam syarikat. Sekarang, beliau masuk semula dengan dua misi: menstruktur semula syarikat dan membina semula keyakinan pelabur. Widad yang terlibat dalam industri pembinaan, servis pengurusan fasiliti dan konsesi mempunyai ‘order book’ bernilai RM1.66 bilion ketika ini. Tugas utama Tan Sri Ikmal adalah memastikan Widad menyiapkan projek-projek ini. ‘Wi-dead’ kepada ‘we-did-it’ selepas ini, insyaallah.
IPO Carsome dalam masa terdekat? Carsome mengumumkan prestasi terbaiknya pada suku kedua 2024 apabila menunjukkan peningkatan pendapatan 9% (RM1.3 bilion) berbanding suku sebelumnya. Bagi setiap RM1 yang dihasilkan, Carsome dapat simpan lebih RM0.10 (>10% gross margin) dan pendapatan sebelum cukai, faedah dan kesusutan nilai (EBITDA) naik lebih tiga kali ganda. Ditambah pula dengan pengumuman kerjasama pembiayaan berjumlah lebih RM200 juta dengan Ambank dan Maybank untuk mengembangkan syarikat, Carsome berada dalam trek yang betul untuk menjadi IPO yang hangat.
Bercakap tentang mengembangkan syarikat, Zus Coffee juga baru mendapat RM250 juta untuk tujuan sama. Pelaburnya? Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), KV Asia Capital dan Kapal Api Group. Jenama kopi yang sudah mempunyai 550 cawangan seluruh Malaysia ini merancang untuk menggunakan dana pelaburan ini untuk menambah cawangan di luar negara (Zus mempunyai 50 cawangan di Filipina) dan menambah produk Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG).
Geopolitik 🌍
Bekas Presiden Peru, Alberto Fujimori, meninggal dunia awal pagi Khamis (waktu Malaysia) pada usia 86 tahun. Jika anda selalu menonton berita dunia semasa era 90-an, anda pasti pernah dengar namanya. Fujimori merupakan ahli politik yang berpolarisasi—anda sama ada betul-betul suka atau betul-betul benci dengannya.
Bagi rakyat Peru, Fujimori terkenal dengan kejayaan pembaharuan ekonominya dan kekejaman pemerintahannya. Dia diingati kerana menstabilkan ekonomi Peru (fakta: Fujimori peminat kejayaan Tun Dr Mahathir mengurus ekonomi Malaysia) dan memerangi pengganas Shining Path, dan juga kerana:
mengarahkan tentera membunuh 25 orang, termasuk kanak-kanak.
memusnahkan institusi demokrasi Peru (dengan membubarkan Kongres dan mahkamah).
mengarahkan pegawai kerajaannya merasuah hakim.
Pada tahun 2000, Fujimori melarikan diri ke Jepun selepas rakaman video pegawainya merasuah hakim tersebar di media. Ketika ‘dibuang negara’ inilah, Fujimori menghantar surat perletakan jawatannya sebagai presiden—melalui faks.
Pada tahun 2005, bekas jurutera dan pensyarah pertanian ini pergi ke Chile untuk merangka kemasukan semulanya ke arena politik. Tetapi dia kemudiannya diekstradisi ke Peru untuk dihadapkan ke mahkamah. Empat tahun kemudian, Fujimori dihukum penjara 25 tahun atas kesalahan membunuh 25 rakyatnya.
Bagaimanapun pada Disember 2023 lepas, mahkamah tinggi Peru mengarahkan dia dibebas atas alasan kemanusiaan.
Teknologi 💻
Apa yang baru dengan iPhone 16? Tak banyak yang cukup mengujakan nampaknya menurut peminat Apple.
Antara rungutan yang popular di X adalah:
Pengguna mahu headphone jack, Apple beri butang kamera.
Apple Intelligence yang masih dalam mod percubaan, tetapi telah dijual bersama produk. Ibarat menjual roti yang masih belum masak.
Refresh rate yang masih 60Hz
Kelajuan pengecasan sekadar 45W
Satu-satunya inovasi rekaan bentuk yang dibawakan adalah kedudukan lensa kamera.
Perusahaan Sosial 🌱
Satu Creative Services Sdn Bhd, dengan kerjasama Yayasan Hasanah, melancarkan Satu Creative Hasanah Impact Challenge 2024 (SCHIC2024) bagi memperkasa perusahaan sosial peringkat awal di Malaysia.






Fokus kepada empat tema utama—Alam Sekitar, Seni & Ruang Awam, Pendidikan, dan Pembangunan Komuniti—program ini menawarkan geran perniagaan sehingga RM100,000, bimbingan daripada mentor industri, serta peluang rangkaian dengan pelabur. Kerjasama bersama MDEC dan TEGAS ini adalah untuk mengukuhkan ekosistem inovasi sosial negara.
Berminat? Layari laman web Satu Creative untuk maklumat lanjut dan cara menyertai SCHIC2024.
Kewangan Peribadi 💰
Perkara pertama anda kena semak sebelum membuat pelaburan adalah sumber pendapatan.
Setiap orang mempunyai kemampuan berbeza. Ada kerja profesional, ada kerja 3D, ada kerja guna buah fikiran sahaja. Paling penting anda kena tahu, berapa pendapatan sejam anda mampu peroleh.
Boleh jadi, sebab taraf pendidikan anda baik, skil anda bagus serta pengalaman anda luas, nilai sejam anda bertambah. Cuma, setiap hari anda ada masa yang terhad - 24 jam.
Ya, era kini memang ramai buat dua atau kerja. Tidak semua masa anda larat untuk bekerja 24 jam. Anda adalah manusia.
Anda perlu masa untuk tenang, makan, berbual, berhibur dan paling penting - rehat.
Selain berusaha menambah pendapatan secara aktif, anda kena rajin tambah pendapatan ketika anda sedang pasif, yakni tidur.
Sebab itu, filem Wall Street ada Gordon Gecko sebut keramat “Money never sleep.” Semasa anda tidur, wang sedang bekerja untuk anda. Wang yang anda perolehi secara aktif, pindahkan ke cara jana pendapatan secara pasif.
Macam mana nak dapat pendapatan pasif?
Pelaburan adalah salah satu cara. Melalui pelaburan, boleh jana pendapatan melalui sewa (contoh: REIT - pelaburan alternatif), dividen (contoh: saham dan unit amanah) dan hakcipta seperti royalti buat lagu, paten dan macam-macam lagi.
Jika anda suka dengan kandungan kami pada minggu ini, sila share dengan kawan-kawan dan keluarga.