Sarawak Buat 'UPSR' Sendiri
Juga apa terjadi jika anda melabur dalam saham Astro dan Bitcoin setahun lepas; mengapa pakar ekonomi tak suka dasar tarif Trump; dan kami mencuba MaLLaM.
Assalamualaikum wbt dan selamat pagi. Kerajaan Sarawak akan menanggung sendiri kos ujian penilaian untuk pelajar Tahun 6, Tingkatan 3, dan Tingkatan 5 di negeri itu. Ujian penilaian yang akan disediakan dengan kerjasama Cambridge University Press and Assessment itu dijangka akan bermula dengan pelajar Tahun 6 pada tahun depan dan Tingkatan 3 pada 2028.
Langkah Sarawak ini berbeza dengan pendekatan kerajaan pusat yang mempertahankan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3 pada 2022.
Golongan pro-pemansuhan peperiksaan mendakwa keputusan UPSR dan PT3 tidak menggambarkan prestasi sistem pendidikan sebenar. Manakala golongan anti-pemansuhan menyatakan tindakan pemansuhan yang tergesa-gesa tanpa kajian mendalam telah membawa kepada penilaian yang tidak tepat dan menambah beban kepada guru. Kesan mula terlihat apabila 10,177 pelajar SPM dilaporkan gagal menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira) akibat pemansuhan UPSR dan PT3. Patutlah Johor pun nak buat sekolah sendiri.
Pelaburan 💸
Anda masih melanggan Astro?
Pernah dianggap sebagai satu keperluan bagi setiap keluarga kelas pertengahan di Malaysia sejak awal 2000-an, Astro kini bukan lagi seperti dulu. Pada Selasa lepas, saham Astro Malaysia Holdings hanya bernilai RM0.21, paras terendah dalam sejarah sejak disenaraikan.
Jika anda melabur RM1,000 untuk membeli saham Astro pada 5 Disember 2023, nilai portfolio anda akan merosot kepada RM666.70 hari ini.
Dahulu bernilai lebih RM3.00 pada 2013, saham Astro mula jatuh bawah RM3 pada 2016, bawah RM2 pada 2018, dan akhirnya bawah RM1 pada 2020, disebabkan perubahan drastik dalam tabiat pengguna semasa pandemik. Menurut analisis Kenanga, kejatuhan ini berpunca daripada:
Penurunan pelanggan (-2.4% YoY),
Penurunan hasil iklan (-16% YoY), dan;
Persaingan sengit daripada platform penstriman seperti Netflix.
Anda ada melabur dalam Bitcoin?
Jika ya, minggu ini minggu yang menggembirakan untuk anda. Bitcoin (BTC) buat pertama kali dalam sejarah melepasi paras $100,000.
Lonjakan ini didorong oleh pelantikan Paul Atkins, tokoh pro-kripto, sebagai ketua U.S. Securities and Exchange Commission (SEC) oleh Presiden yang baru dipilih, Donald Trump.
Selepas pilihan raya, Bitcoin hampir mencapai $100,000 pada November sebelum jatuh ke paras $91,000 akibat pengambilan keuntungan.
Pelabur optimis bahawa pentadbiran Trump akan memberikan kejelasan dan dasar yang lebih mesra kripto, yang mendorong lonjakan harga ini.
Jika anda melabur RM1,000 untuk membeli Bitcoin pada 5 Disember 2023, nilai portfolio anda akan meningkat kepada RM1,440 hari ini.
Ekonomi 📊
Perjanjian JS-SEZ ditunda ke Januari 2025. PMX mengumumkan perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijadualkan ditandatangani pada 9 Disember 2024 akan ditunda ke Januari 2025. Ini selepas PM Singapura Lawrence Wong disahkan positif COVID-19. Jika anda tak tahu atau terlepas pandang, JS-SEZ bakal memberi impak besar kepada ekonomi Johor. Pada tahun 2023, Johor menerima pelaburan asing bernilai RM70.6 bilion, dengan Singapura menjadi penyumbang kedua terbesar. JS-SEZ yang merangkumi Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Pontian, Kulai and Kota Tinggi dijangka akan menggandakan jumlah pelaburan ini.
Trump ancam tarif 100% jika BRICS cabar USD. Presiden AS yang baru dipilih, Donald Trump, memberi amaran keras kepada negara-negara BRICS agar tidak mencabar dominasi USD dalam ekonomi global. Trump mengancam untuk mengenakan tarif 100% ke atas negara yang cuba mencipta mata wang BRICS baharu atau menyokong mata wang lain untuk menggantikan dolar dalam perdagangan antarabangsa.
📺 Mengapa pakar ekonomi tak suka rancangan Trump menaikkan tarif
Jawapan pendek: Akhirnya rakyat AS yang menerima akibatnya.
Perniagaan 💼
Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan syarikat insurans untuk mengkaji semula strategi penetapan semula harga premium perubatan selepas mendapat reaksi negatif daripada rakyat berikutan laporan kenaikan premium antara 40-70%.
Sebagai langkah mitigasi, syarikat insurans kini akan melaksanakan:
kenaikan secara berperingkat
menawarkan pelan pembayaran premium fleksibel dan;
menyediakan pelan perlindungan alternatif pada kadar premium yang lebih rendah.
Selain itu, BNM akan mewajibkan syarikat insurans untuk menerbitkan kos prosedur perubatan bagi hospital swasta menjelang pertengahan 2025 untuk memudahkan perbandingan oleh pengguna.
Pengguna pula menggesa syarikat insurans untukmempertimbangkan dua cadangan utama:
Menggunakan model community rating seperti di luar negara, berbanding model individu. Dalam model community rating, syarikat insurans dilarang untuk menaikkan harga premium berdasarkan umur, jantina, faktor kesihatan dan lain-lain.
Memperkenalkan diskaun tanpa tuntutan (non-claim discount). Seperti yang diamalkan dalam insurans motor, siapa yang tak pernah claim, akan dapat diskaun pembayaran premium.
Geopolitik 🌍
Pada 3 Disember 2024, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, mengisytiharkan undang-undang tentera. Berita yang mengejutkan peminat Kpop ini keluar selepas Suk-yeol mendakwa terdapat ancaman daripada "kuasa komunis Korea Utara" dan elemen anti-negara yang mengancam demokrasi negara.
Dalam undang-undang tentera ini, arahan ini dikeluarkan:
Larangan semua aktiviti politik: termasuk aktiviti Parlimen, parti politik, perhimpunan, dan demonstrasi.
Kawalan media: semua media dan penerbitan diletakkan di bawah kawalan Komando Undang-Undang Tentera.
Larangan mogok dan perhimpunan: mogok, pemberhentian kerja, dan perhimpunan yang boleh mencetuskan kekacauan sosial dilarang.
Arahan kepada petugas perubatan: Semua petugas perubatan yang mogok diarahkan kembali bekerja dalam tempoh 48 jam.
Reaksi Parlimen Korea Selatan
Parlimen Korea Selatan dengan pantas mengundi untuk membatalkan pengisytiharan undang-undang tentera, dengan 190 ahli parlimen yang hadir mengundi sebulat suara untuk menolaknya. Mereka menganggap tindakan Suk-yeol sebagai tidak berperlembagaan.
Kali terakhir Korea Selatan menguatkuasakan undang-undang tentera adalah pada 1979—ketika peristiwa Kudeta 12:12.
Tindakan Presiden
Selepas undian Parlimen, Presiden Yoon mengumumkan bahawa beliau akan menarik balik undang-undang tentera tersebut. Beliau menyatakan akan menerima permintaan Parlimen dan membatalkan undang-undang tentera melalui mesyuarat kabinet.
Terdapat beberapa peletakan jawatan susulan pengisytiharan undang-undang tentera selama enam jam oleh Presiden Suk-yeol iaitu:
Menteri Pertahanan: Kim Yong-hyun.
Ketua Staf Presiden: Chung Jin-suk, bersama tujuh pembantu kanan lain.
Penasihat Keselamatan Negara: Shin Won-sik.
Ketua Staf untuk Polisi: Sung Tae-yoon.
Peletakan jawatan ini menambah tekanan terhadap Presiden Yoon, dengan desakan untuk beliau turut meletak jawatan atau menghadapi proses pemecatan.
Sepintas Lalu ✨
KLIA dinobatkan lapangan terbang terbaik di dunia. KLIA menduduki tempat pertama daripada 355 lapangan terbang dalam Airport Service Quality (ASQ) Global Performance Rankings suku ketiga 2024. KLIA mencatatkan skor sempurna 5.00, melepasi purata global ASQ sebanyak 4.32. Kajian ini melibatkan 352 penumpang dari 355 lapangan terbang di seluruh dunia.
Putin tegur orang Jerman kerana bercakap dalam English. Presiden Rusia, Vladimir Putin menegur seorang rakyat Jerman kerana bertanya soalan kepadanya dalam Bahasa Inggeris. “Awak mewakili Jerman, awak patut cakap bahasa Jerman. Kenapa awak tanya saya dalam English? Fikirkan kedaulatan negara awak,” kata Putin.
Sempena trend Spotify Wrapped pada minggu ini, apa kata kita tengok Genocide Wrapped dari Israel pula?
Teknologi 💻
Amazon Web Services (AWS) bekerjasama dengan Mesolitica, sebuah syarikat pemula niaga Malaysia, untuk memperkenalkan MaLLaM (Malaysian Large Language Model), model bahasa besar (LLM) generatif pertama yang khusus untuk Bahasa Melayu.
MaLLaM menawarkan 4 fungsi utama:
Speech: Pengecaman dan pemprosesan suara.
Retrieval: Pencarian maklumat berasaskan teks.
Chat: Interaksi AI secara langsung dalam Bahasa Melayu.
Translation: Terjemahan antara Bahasa Melayu dan bahasa lain.
Kami mencuba fungsi Chat MaLLaM. Berdasarkan hasil chat, kami mendapati MaLLaM masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki. Loghat Kelantan MaLLaM masih bercampur-aduk dengan loghat negeri lain. Input daripada pengguna lain diperlukan sebelum MaLLaM betul-betul menjadi LLM yang hampir sempurna.
Anda boleh mencuba MaLLaM secara percuma di sini.
Perusahaan Sosial 🌱
Artikel ini dibawakan khas oleh LEAP dan Empowerise.
Bayangkan sisa plastik menimbun tanpa penyelesaian inovatif, usahawan sosial bergelut tanpa bimbingan, dan komuniti terpinggir kekurangan peluang ekonomi. Di Malaysia, Biji-biji Initiative hadir untuk mengatasi cabaran ini dengan mempromosikan pembangunan lestari melalui teknologi dan pendidikan.
Biji-biji Initiative menangani isu pengurusan sisa, kekurangan sokongan untuk usahawan sosial, dan ketiadaan peluang ekonomi bagi komuniti terpinggir.
Antara khidmat yang ditawarkan Biji-biji Initiative adalah:
Inovasi Sosial: Menyokong usahawan berimpak dengan alat dan sumber untuk merealisasikan idea inovatif dan mencapai pertumbuhan yang boleh diskalakan.
Pemecutan Impak: Memberi latihan, pembiayaan benih, dan bimbingan kepada organisasi alam sekitar dan PKS untuk mencapai potensi penuh mereka.
Ekonomi Kitaran: Melalui program Beyond Bins, menyediakan penyelesaian kitar semula plastik berasaskan komuniti yang mencipta peluang pendapatan alternatif bagi komuniti terpinggir.
Pencapaian Biji-biji Initiative setakat ini:
433 usahawan dibimbing.
57,100 individu diberdayakan melalui program mereka.
138 projek berimpak diwujudkan.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Biji-biji Initiative, anda boleh pergi ke laman sesawang rasmi mereka di sini.
Kewangan Peribadi 💰
“Biar papa, asalkan bergaya.” - ini yang ramai telah terperangkap.
Ada tiga cara lazim manusia berbelanja berkaitan kemampuan.
Orang pertama: Dapat pendapatan 10 ringgit, cara kehidupan belanja 8 ringgit. Ini yang kita mahukan. Ada lebihan, boleh disimpan. Cukup simpanan, buatlah sesuatu. Urus risiko kehidupan dan gandakan melalui pelaburan.
Inilah rahsia kebanyakan golongan selesa 20 tahun mendatang. Biarlah bersusah sedikit hari ini, asalkan selesa kemudian hari. Tahu, diri kita tak segagah hari jika dibandingkan kemudian hari (tua dan sakit).
Orang kedua: Dapat pendapatan 10 ringgit, cara kehidupan belanja 10 ringgit. Ini paras tengkuk. Ini yang membimbangkan. Sentiasa cukup makan. Jika sesuatu tak diingini berlaku, kepincangan boleh dijemput.
Sukar menyimpan atau tiada simpanan. Ini yang selalu disebut ‘rat race’ - habis keju hari ini, tunggu keju akan datang. Orang kedua hanya perlu buat semakan belanja. Kalau boleh kurangkan. Tak boleh, naikkan pendapatan. Cara ekstrim, buat dua-dua.
Orang ketiga: Ini golongan paling membimbangkan. Dapat 10 ringgit, belanja 15 ringgit. Macam mana boleh berlaku? Hari ini senang untuk berbelanja lebih dari sepatutnya. Salah satunya, mempunyai akses kredit yang mudah.
Tak ada duit hari ini? Swipe. Tapi cukup masa, bayar minima atau terlupa/buat buat lupa nak bayar. Paling baru dan bakal jadi barah - Buy Now, Pay Later (BNPL). Belanja dulu, fikir rasa-rasa boleh bayar. Cukup masa, tak cukup.
Cara untuk selesaikan golongan ketiga? Pertama, kena sedar diri dahulu. Sedar diri, bahawasanya diri tak mampu. Sedar diri, kita tiada simpanan.
Bila sedar diri, baru boleh buat cara orang kedua dan berdikit-dikit jadi orang pertama.
“Ukur baju di badan sendiri.” - itulah peribahasa nak guna.
Jika anda suka dengan kandungan kami pada minggu ini, sila share dengan kawan-kawan dan keluarga.