Suhu 45°C Sambut Jemaah Haji
Juga Singapura beli tanah Malaysia; cubaan PMX tangguh kes saman Yusof Rawther ditolak; dan Putin beri amaran Rusia akan bertindak balas susulan kejayaan Ukraine dalam operasi Spider's Web.
Assalamualaikum wbt dan selamat pagi. Untuk siapa sebenarnya tong gas ungu ini? Jawapan: peniaga makanan seperti restoran, kedai makan, gerai, dan katering, selain IKS.
Sekitar Malaysia 🇲🇾
Haji 2025 bermula dengan suhu sehingga 45°C
Lebih 1.8 juta umat Islam sudah mula bergerak ke Arafah semalam bagi menunaikan ibadah haji. Ini termasuklah 31,600 jemaah Malaysia. Dugaan mereka pada tahun ini adalah suhu panas yang mencecah hingga 45°C sepanjang hari-hari kemuncak (masya'ir) ibadah.
Sehubungan dengan itu, kerajaan Arab Saudi menguatkuasakan larangan berjalan kaki demi keselamatan jemaah dan mengelak risiko strok haba. Lebih 25,000 bas dan 9,000 teksi disediakan untuk mengangkut jemaah. Selain itu, kerajaan Arab Saudi turut memasang sistem penyejuk serta turapan getah di laluan jemaah dan menambah ruang berhawa dingin. Kawasan penyejukan di Arafah turut diperluas sehingga 82% tahun ini demi keselesaan jemaah.
Lain-lain:
Singapura beli dua lot Tanah Malaysia. Pengumuman itu dibuat oleh Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) untuk tujuan peluasan Kompleks Kastam dan Imigresen Woodlands (Woodlands Checkpoint). Secara keseluruhan, saiz tanah berkenaan ialah 0.79 hektar (luas sedikit daripada saiz padang bola). Pihak Singapura mendedahkan projek tersebut perlu dilaksanakan demi mengatasi isu kesesakan kronik di sempadan darat. Difahamkan Singapura telah menyatakan hasrat itu sejak Mei 2022 untuk membeli tanah tersebut, dan fasa pertama pembinaan akan bermula pada antara Ogos-September tahun ini.
Mahkamah tolak permohonan Anwar isu kes saman Yusoff Rawther. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan. Ianya dalam usaha untuk membatalkan saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya, Muhammed Yusoff Rawther. Hakim Roz Mawar memberitahu persoalan yang dikemukakan tidak menimbulkan isu undang-undang yang nyata, substantif dan boleh diadili seperti disyaratkan bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman. Kes saman sivil itu bakal bermula 16 Jun seperti dijadualkan dan permohonan Anwar untuk penangguhan turut ditolak. Mahkamah turut mengarahkan Anwar membayar kos RM20,000 kepada Yusoff.
Langkah keselamatan dipertingkat selepas tragedi LRT Puchong. Susulan insiden maut seorang lelaki dari Taiwan yang terjatuh ke landasan Stesen LRT Bandar Puchong, langkah keselamatan baharu mula dilakukan. Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pagar penghadang di platform akan dipasang di semua stesen tren sebagai langkah keselamatan tambahan. Ketika ini, pagar tersebut hanya tersedia di stesen MRT baharu dan laluan Monorel KL.
Lebih RM750 juta harta Daim Zainuddin dibeku SPRM. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dilaporkan telah membenarkan permohonan untuk membekukan tujuh hartanah serta satu akaun bank milik isteri Daim, Na’imah Abdul Khalid bersama keluarganya. Anggaran aset tersebut dilaporkan bernilai RM758.2 juta. Antara aset dibekukan termasuk tiga kediaman mewah dan dua bangunan komersial di London. Langkah tersebut dibuat ekoran prosiding sebelah pihak (ex-parte) yang memetik siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLATFPUAA 2001). Ini merupakan kesinambungan kepada usaha SPRM melucutkan hak ke atas harta bernilai tinggi yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan itu.
Sekitar Dunia 🌎
Putin beri amaran akan balas tindakan Ukraine
Presiden AS Donald Trump mengesahkan bahawa beliau dan Vladimir Putin telah berbual selama 1 jam 15 minit pada Rabu (4 Jun) lalu, susulan serangan besar-besaran Ukraine ke atas pangkalan udara strategik Rusia dalam Operasi Spider’s Web.
Operasi Spider’s Web adalah nama tidak rasmi yang diberikan oleh Ukraine kepada satu siri serangan dron berskala besar yang menyasarkan pangkalan udara strategik Rusia—termasuk lokasi jauh seperti Siberia dan Kutub Artik—pada awal minggu ini.
“Ia perbualan yang baik,” kata Trump, “tetapi bukan perbualan yang akan membawa kepada damai segera.” Perbualan itu merujuk kepada serangan dron Ukraine yang menyasarkan pesawat pengebom Rusia, termasuk Tu-95 dan Tu-22M—yang mengundang reaksi keras dari Moscow. Menurut Trump lagi, “[Putin] menyatakan dengan sangat tegas bahawa Rusia perlu bertindak terhadap serangan ke atas pangkalan udaranya.”
Sebelum ini, NATO memuji operasi Ukraine sebagai kejayaan besar dalam menjejaskan keupayaan strategik Rusia. White House pula memberi amaran bahawa tindakan Kyiv boleh meningkatkan risiko konflik berskala lebih besar.
Perkembangan terkini genosid Israel di Gaza
Serangan tentera Israel terus menyasarkan kawasan padat penduduk seperti Jabalia, Deir el-Balah dan Khan Younis, dengan laporan kematian dan kecederaan yang terus meningkat setiap hari. Sekurang-kurangnya 95 warga Palestin terkorban manakala 440 lagi cedera akibat serangan tentera Israel dalam masa 24 jam lepas.
Amerika Syarikat sekali lagi gunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB, menghalang resolusi yang menuntut gencatan senjata segera dan kekal di Gaza. Ini merupakan kali kelima AS menggunakan kuasa vetonya untuk menolak usul seperti ini sejak perang tercetus.
93% NGO tempatan dan antarabangsa di Gaza kini melaporkan bahawa bekalan bantuan mereka hampir atau sudah kehabisan. Ini susulan sekatan ketat oleh Israel yang menyukarkan sebarang kemasukan makanan, ubat dan bahan asas ke Gaza.
Sepintas Lalu 💨
Skuad bola sepak negara, Harimau Malaya umum empat lagi pemain warisan baharu (seorang Brazil, seorang Sepanyol dan dua Argentina) sebelum aksi bertemu Vietnam. (Buletin TV3)
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) kini telah pun membuka permohonan ke program ijazah sarjana muda kepada pelajar bagi sesi akademik 2025/2026. (Berita Harian)
Tiada nama wakil Malaysia kelihatan bagi senarai 10 orang terkaya di Asia 2025. (Vocket)